KUALA LUMPUR – Profesion pemandu kenderaan awam termasuk bas ekspres perlu dinaik taraf melalui struktur gaji yang lebih adil, status kerja yang dihargai dan modul kesejahteraan kerja yang menyeluruh.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof. Dr. Jamalludin Ab Rahman berkata, pemandu kenderaan awam juga perlu menjalani latihan berkala meliputi pemanduan pada waktu malam, laluan mencabar seperti jalan berbukit dan selekoh tajam serta tindakan kecemasan.
Dalam masa sama, ujar beliau, pemandu kenderaan awam juga perlu menjalani saringan kesihatan fizikal dan mental secara sistematik bagi memastikan mereka benar-benar berkemampuan melakukan kerja terbabit.

“Aspek keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam perlu dianggap sebagai isu kesihatan awam yang sangat serius dan dijadikan agenda utama dalam perancangan kesihatan awam negara.
“Tragedi yang meragut nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini mesti menjadi titik tolak kepada perubahan dasar dan tindakan menyeluruh yang mampu melindungi rakyat daripada insiden yang boleh dicegah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah Dr. Jamalludin, setiap kenderaan pengangkutan awam khususnya bas yang membawa penumpang dalam jumlah besar mesti mematuhi standard keselamatan teknikal yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, penyelenggaraan perlu dilakukan mengikut jadual dan rekod penyelenggaraan mestilah lengkap serta boleh diaudit.
Selain itu, tambah beliau, pihak berkuasa juga perlu mempertingkat penguatkuasaan terhadap syarikat pengangkutan termasuk menjalankan pemeriksaan mengejut dan mengenakan tindakan tegas terhadap pengendali yang gagal mematuhi piawaian minimum.
“Penguatkuasaan yang konsisten dan bebas daripada kompromi adalah asas kepada pencegahan tragedi yang boleh dielakkan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menggesa supaya kualiti jalan raya diberi perhatian dalam aspek perancangan bandar dan desa serta perlu menjadi sebahagian daripada dasar pembangunan infrastruktur negara.
Jelasnya, penambahbaikan itu termasuk melibatkan penggunaan struktur lebih selamat, pemasangan lampu jalan yang mencukupi di kawasan gelap dan berisiko, papan tanda amaran yang jelas serta semakan terhadap kesesuaian reka bentuk dan fungsi jalan.
Dalam masa sama, katanya, pendidikan dan kesedaran awam berhubung aspek keselamatan jalan raya perlu diperkasa secara berterusan melalui kempen, kurikulum sekolah dan latihan komuniti.
“Tanggungjawab bukan sahaja terletak pada pemandu, tetapi juga pada penumpang, pejalan kaki dan semua pengguna jalan raya.
“Hanya dengan kesedaran kolektif, kita dapat mengurangkan risiko kemalangan yang membawa maut,” katanya. – MalaysiaGazette
















