KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pemuda MCA Negeri Selangor, Jacky Kuai Sin Keong membidas langkah terbaharu kerajaan untuk memperluaskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dengan menyatakan ia tidak membebankan rakyat.

Dakwa beliau, ayat manis yang tertulis dalam Belanjawan 2025 sebenarnya tidak pernah menjadi kenyataan di meja makan rakyat.

Beliau berkata, bermula 1 Julai ini, cukai ke atas barangan mewah akan dikenakan sehingga 10%, buah-buahan import 5%.

Manakala cukai perkhidmatan pula diperluaskan kepada sektor sewaan, perubatan, kecantikan dan pendidikan,

Pelaksanaan ini semuanya bakal memberi kesan kepada golongan pertengahan dan bawahan, kata beliau.

Jacky menegaskan, MCA telah berkali-kali membangkitkan isu berkenaan kelemahan struktur SST, yang paling ketara ialah sifatnya yang berlapis-lapis, tidak telus, dan akhirnya semua kos dipindahkan kepada pengguna akhir.

Katanya, MCA sentiasa menyokong pemulihan semula sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang lebih efisien dan adil, dengan syarat ia disertai dasar sifar cukai untuk barangan asas dan ambang pengecualian yang munasabah.

Jelas beliau, rakyat juga bukan membantah pelaksnaan cukai, tetapi menolak cukai yang mahal secara senyap, tanpa maklumat yang jelas.

Jika kerajaan terus memilih SST sebagai alat reformasi, maka kerajaan perlu menjawab secara terbuka tiga persoalan penting iaitu adakah kerajaan mengakui bahawa SST akhirnya akan ditanggung oleh pengguna, adakah kerajaan boleh memberi jaminan SST tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang dan jika berlaku, siapa akan bertanggungjawab.

Malah, beliau mempersoalkan mengapa kerajaan enggan kembali kepada GST yang lebih telus dan sistematik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast