GEORGE TOWN – Empat individu termasuk seorang wanita warga asing direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengurung tiga lelaki warga Indonesia di sebuah kondominium di Jalan Dr. Wu Lien Teh di sini semalam.
Perintah reman terhadap kesemua suspek yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu dikeluarkan Majistret Azlan Basri bermula hari ini sehingga 14 Jun ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan.
Terdahulu kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah pukul 8.50 pagi dengan diiringi polis bagi mendapatkan perintah reman.
Difahamkan, tiga lelaki tempatan dan wanita warga asing itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki Indonesia yang datang dari Aceh untuk mencari saudaranya yang dilaporkan hilang tanpa jejak sejak setahun lalu.
Tiga mangsa tersebut dipercayai telah dikurung di rumah tersebut hampir setahun dengan keadaan kaki mereka dirantai menggunakan rantai besi serta diikat pada jeriji tingkap.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa tidak mengenali antara satu sama lain selain pasport mereka dipegang oleh salah seorang suspek atas alasan untuk mendapatkan pekerjaan.
Salah seorang mangsa dikatakan sempat menghantar lokasi keberadaannya kepada saudaranya di Aceh sebelum pengadu datang membuat laporan kepada polis.
Difahamkan polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu termasuk mengenalpasti motif kesemua mangsa dikurung serta penglibatan suspek lain.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kes serta tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette
















