Keadaan bas persiaran yang terbalik selepas terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah Perodua Alza di Kilometer (km) 15, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli–Gerik, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru segera menilai keperluan untuk menaik taraf Lebuh Raya Jeli – Gerik yang telah berusia 43 tahun sejak fasa pertama lebuh raya itu disiapkan pada 1982.

Menyifatkan kerja naik taraf itu sebagai mendesak, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, lebuh raya itu perlu dijadikan laluan dua lorong bagi setiap hala dengan dibina pembahagi jalan.

Jelas beliau, para pengguna yang melalui Lebuh Raya Timur Barat bermula dari Jeli dan berakhir di Gerik tentu bersetuju laluan itu sangat berisiko berlaku kemalangan dan sangat berbahaya.

KDNK Terengganu
Mohd Khairuddin Aman Razali

Apatah lagi, tambahnya, jika lebuh raya itu dilalui pada waktu malam dengan suasana gelap tanpa lampu jalan.

“Saya sendiri bersama anak-anak pernah kemalangan agak teruk ketika pulang ke Terengganu dari Kedah pada 2017 untuk beraya kerana dilanggar dari belakang oleh kereta yang terbabas ketika ia memotong kereta lain di kawasan berselekoh.

“Saya terpaksa mengambil kereta lain untuk pulang beraya kerana kereta sudah teruk kemalangan memerlukan baik pulih lebih sebulan.

“Walau dengan pelbagai risiko termasuk bahaya binatang liar seperti gajah sepertimana yang selalu tular di media sosial, para pengguna dari Pantai Timur ke Pantai Barat dan sebaliknya tiada pilihan lain kerana itulah laluan terdekat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Mohd Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, kerajaan pernah membelanjakan sebanyak RM296 juta kira-kira 43 tahun lalu untuk menghubungkan Lunas, Kedah ke Pasir Putih, Kelantan melalui Gerik dan Jeli sepanjang 225 kilometer.

Sehubungan itu, kata beliau, sudah tiba masa kerajaan menyalurkan semula sejumlah peruntukan bagi menaik taraf lebuh raya tersebut meskipun terpaksa menelan belanja berbilion-bilion ringgit.

Tambahnya, beliau yakin ramai rakyat menyokong keperluan menaik taraf lebuh raya itu agar sekurang-kurangnya tragedi tragis yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kelmarin, tidak berulang.

“Kita tidak perlu menanti orang besar dan berkepentingan negara berhadapan nahas di lebuh raya itu untuk menggemparkan negara lalu diusahakan segera penaikan taraf,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast