Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (tengah)

KUANTAN- Fatwa pengharaman penggunaan rokok elektronik atau vape di Pahang telah diwartawakan oleh Pejabat Mufti negeri itu selepas Johor, Terengganu dan Perak mengambil langkah serupa.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang pada 3 Mac lalu.

“Pemakluman itu dibuat melalui satu kertas yang dihantar oleh Pejabat Menteri Besar mengenai penggunaan vape dalam kalangan masyarakat masa kini.

“Kerajaan negeri mengambil maklum dan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 14 Mei lalu dan mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Titah tuanku baginda yang bimbang terhadap perkara ini (penggunaan vape) dan dimaklumkan beberapa kali sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Agama Islam Pahang Bilangan 1 2025 di Bilik Gerakan Sri Pahang, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini, hari ini.

Sementara itu, Syed Ibrahim meminta kerjasama pihak kuasa tempatan (PBT) di negeri itu untuk menguatkuasakan pemberhentian penjualan vape pada tahun ini.

“Kita faham peniaga ada kekangan kerana sudah membelinya. Jadi bolehlah beransur-ansur tidak mengambil bekalan vape itu,” tambahnya.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah menyarankan penggunaan vape diharamkan secara total susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang.

Titah baginda, berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kebanyakan golongan belia terjebak dalam kencah dadah bermula dengan penggunaan vape. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast