TEHRAN – Ketua Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memberi amaran bahawa Iran bersedia sepenuhnya untuk sebarang senario dan mempunyai strategi ketenteraan yang jelas untuk menentang sebarang kemungkinan pencerobohan.
“Musuh kadangkala mengancam kami dengan tindakan ketenteraan. Kami sentiasa berkata dan ulangi sekarang bahawa kami bersedia sepenuhnya untuk sebarang senario, dalam apa jua keadaan,” kata Mejar Jeneral Hossein Salami dalam satu majlis di Tehran pada Khamis.
Beliau turut memberi amaran bahawa musuh tersilap percaya ia boleh melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran dengan cara yang sama seperti mana rakyat Palestin yang terkepung dan tidak berdaya di Gaza.
“Sedangkan mereka tidak dapat melawan dan menghancurkan pemuda Yaman, jadi bagaimana mungkin mereka menghadapi negara besar seperti Iran?,” katanya.
Ketua IRGC memberi amaran kepada musuh agar tidak membuat sebarang salah perhitungan.
Ia kerana Angkatan Bersenjata Iran telah bersedia untuk berperang di mana-mana peringkat selama bertahun-tahun.
Amaran itu datang ketika Amerika Syarikat sedang menyediakan pemindahan kakitangan kedutaannya yang tidak penting dan keluarga mereka dari rantau ini, kerana perisikan negara itu mendakwa Israel sedang merancang untuk menyerang kemudahan nuklear Iran.
Pegawai Iran telah memberi amaran bahawa sebarang tindakan pencerobohan terhadap negara itu akan mencetuskan tindakan balas yang pantas dan kuat, dengan kepentingan AS dan pangkalan tentera di rantau itu dikenal pasti sebagai sasaran yang berpotensi. – Agensi
















