Pekerja kontraktor memasang logo ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 21 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur mencatat peningkatan dalam Laporan Country & City Rankings 2024 untuk International Convention & Conference Association (ICCA) apabila berada pada kedudukan ke-26 dalam World City Rankings.

Kedudukan ini naik enam anak tangga, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai destinasi utama acara perniagaan di peringkat dunia.

Malaysia telah menganjurkan 129 mesyuarat persatuan antarabangsa, naik dua anak tangga ke kedudukan ke-31 dalam penarafan negara global dan kekal dalam 10 ke atas untuk rantau Asia Pasifik di tempat kesembilan.

Daripada jumlah itu, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menjadi tumpuan utama bagi 78 mesyuarat antarabangsa di bandar ini pada tahun tersebut.

Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, John Burke berkata, reputasi Malaysia dan Kuala Lumpur yang semakin meningkat menunjukkan nilai tawaran yang menarik. Dengan sokongan 79 syarikat penerbangan ke KLIA dan akses tanpa visa dari 175 negara, Malaysia memenuhi keperluan mobiliti dalam pengurusan acara perniagaan global.

Ditambah pula rantaian bekalan yang memenuhi piawaian antarabangsa, penguasaan bahasa Inggeris dan kadar pertukaran mata wang yang kompetitif, kekayaan warisan budaya dan keindahan khazanah alam semula jadi, Malaysia jelas menjadi pilihan terbaik.

Untuk mempromosikan profil global negara dan Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bekerjasama rapat dengan Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB)—agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya—untuk mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa untuk menarik peluang perniagaan ke Malaysia.

Pada separuh pertama tahun 2025, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada delegasi MyCEB di AIME 2025 (Melbourne) dan IMEX (Frankfurt).

Pusat ini juga akan mengambil bahagian dalam beberapa pameran perdagangan antarabangsa utama yang tersenarai dalam kalendar antarabangsa MyCEB bagi tahun ini, termasuk The Meetings Show di London dan IBTM di Barcelona.

John berkata, dengan peningkatan penekanan global terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pertumbuhan aktiviti kelestarian akan menjadi kunci kejayaan Malaysia, Kuala Lumpur, dan Pusat Konvensyen dalam sektor pengurusan acara perniagaan.

Beliau menekankan kepentingan usaha industri dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi pengurusan acara perniagan yang mampan.

“Di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini percaya fleksibiliti adalah elemen penting untuk memenuhi keperluan ini, dengan pemperibadian dan teknologi sebagai pemacu utama dalam penyampaian perkhidmatan.

“Ruang mesyuarat kami yang telah dinaik taraf kini dilengkapi dengan teknologi hibrid dan infrastruktur audio visual yang lebih canggih.

“Konsep ruang kerja bersama yang baharu juga telah diperkenalkan untuk membantu delegasi yang memerlukan tempat selesa untuk menyelesaikan tugasan kerja atau urusan peribadi ketika persidangan,” tambah John.

Terletak di tengah-tengah kawasan KLCC, di kaki Menara Berkembar Petronas, Pusat Konvensyen bertaraf dunia ini menawarkan ruang serba guna seluas 34,000 meter persegi yang fleksibel dan direka khusus, dengan pelbagai kelebihan di bawah satu bumbung.

Komitmennya terhadap piawaian global dan kecemerlangan operasi dapat dilihat melalui portfolio pensijilan ISO yang dimiliki, termasuk ISO 22000 (Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan), ISO 14001 (Pengurusan Alam Sekitar), ISO 37001 (Sistem
Pengurusan Anti-Rasuah) dan ISO 41001 (Sistem Pengurusan Kemudahan).

“Dengan pengurusan acara perniagaan ini dijangka menyumbang RM42.12 bilion (AS$ 9.9 bilion kepada ekonomi negara menjelang tahun 2030, setiap mesyuarat atau acara antarabangsa yang dianjurkan membawa nilai dan impak jangka panjang kepada komuniti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast