Mohd Yusri Hassan Basri

KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,369 kes kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang pelaksanaan Op Lancar sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bermula dari 6 hingga 9 Jun lalu di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak tiga peratus atau 181 kes berbanding tahun lalu.

“Jumlah kemalangan maut mencatatkan penurunan ketara kepada 58 kes berbanding 84 kes yang direkodkan pada tahun 2024.

“Berdasarkan statistik, jumlah kematian turut menurun kepada 78 orang, berbanding 88 kematian dalam Op Lancar tahun lalu, mencatatkan pengurangan sebanyak 10 kes,” katanya dalam kenyataan.

Daripada keseluruhan kes yang dilaporkan, sebanyak 6,120 daripadanya melibatkan kerosakan kenderaan tanpa melibatkan kematian meningkat sebanyak 266 kes berbanding 5,854 kes yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

“Pihak JSPT mempergiat usaha penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya berada pada tahap optimum, khususnya ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan aliran trafik.

“Kami sentiasa komited dalam memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan sedia ada, selain menggalakkan amalan memandu secara berhemah dan bertanggungjawab. Ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kematian di jalan raya,” tegas beliau.

Mohd Yusri mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya, memastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan mematuhi peraturan lalu lintas sebagai langkah penting dalam mengurangkan insiden kemalangan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast