Mayat mangsa ditemukan oleh adik iparnya dalam keadaan meniarap dengan muka tersembam ke tanah.

MARANG – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari pokok kelapa di Kampung Rhu Muda dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, mayat mangsa ditemukan oleh adik iparnya dalam keadaan meniarap dengan muka tersembam ke tanah di bawah sebatang pokok kelapa.

Menurut beliau, mangsa dilaporkan keluar dari rumah pada sebelah petang untuk memanjat pokok kelapa namun tidak pulang sehingga penemuannya keesokan hari.

“Turut ditemukan berhampiran lokasi kejadian ialah seutas tali panjang, sebilah parang dan sebuah kereta sorong dipercayai milik mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Pemeriksaan awal oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka akibat jatuh dari tempat tinggi sehingga menyebabkan saluran pernafasan tersumbat oleh darah,” katanya.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast