Nur Syifa Iffiya berusia 18 hari mohon sumbangan orang awam bagi menjalani pembedahan jantung.

BUKIT MERTAJAM – Bayi perempuan berusia 18 hari memerlukan bantuan orang ramai sebanyak RM120,000 bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera.

Nur Syifa Iffiya Mohd Shafarid Iqbal dari Padang Serai, Kedah itu merupakan penghidap masalah jantung kongenital yang dikesan sejak dilahirkan pada 26 Mei lalu.

Ibunya, Nus Shuhada Mohd Yusoff, 34, berkata, Nur Syifa Iffiya mengalami kebiruan pada seluruh badan dan kekurangan oksigen dua jam selepas dilahirkan sebelum dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk diberikan bantuan oksigen.

Katanya, pemeriksaan terperinci oleh doktor mendapati bayinya menghidap Transposisi Arteri Besar (TGA), Kecacatan Septum Atrium (ASD) dan Duktus Arteriosus Patensi (PDA).

“Kata doktor, keadaan itu menyebabkan bayi saya perlu bergantung ubat untuk mengekalkan tahap oksigen dan masih dirawat di NICU.”

“Justeru, doktor memberitahu bahawa dia perlu menjalani pembedahan dalam tempoh sebulan selepas kelahiran dan jika ditangguhkan, fungsi jantung akan terus merosot dan peluang untuk terus hidup juga semakin rendah,” katanya.

Menurut Nur Shuhada, dia dan suami, Mohd Shafarid Iqbal Shehidan, 33, terpaksa merayu bantuan orang ramai kerana kos pembedahan yang terlalu tinggi iaitu sebanyak RM120,000.

“Kami amat berterima kasih atas bantuan penderma untuk memastikan anak bongsu kami dapat menjalani pembedahan segera,” katanya yang menghidap hipertensi semasa hamil.

Sementara itu, pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bapa dan ibu Nur Syifa Iffiya bekerja sebagai juruteknik hanya mampu mengeluarkan kos RM7,000 daripada keseluruhan yang diperlukan.

“Pasangan itu turut mempunyai dua orang anak lelaki berusia empat dan tujuh tahun.

“Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org,” katanya.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast