Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (tengah) menyampaikan Anugerah Khas kepada penerima pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025 di BACC, Bangi. Foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Azam Baki menafikan dakwaan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dihantar untuk bertemu dengan Datuk Jovian Mandagie dibuat di Bali, Indonesia.

Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan, pegawai berkenaan kini berada di Jakarta untuk urusan rasmi berkaitan siasatan.

“Seseorang tanya saya kenapa pegawai SPRM pergi ke Bali. Saya tak pernah kata mereka ke Bali. Pegawai saya berada di Jakarta bukan untuk berbulan madu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM ke-2 Tahun 2025 di sini hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025 di BACC, Bangi. Foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2025.

Jovian merupakan bekas menantu kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga mantan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Azam berkata, walaupun belum menerima laporan penuh, pihaknya yakin proses rakaman kenyataan telah dilakukan di Jakarta.

“Saya belum dapat laporan penuh tapi saya percaya pegawai saya telah ambil kenyataan di Jakarta bukan di Bali,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan, pasukan penyiasat SPRM berada di sana selama dua hari untuk mengambil keterangan pereka fesyen berusia 39 tahun itu bagi membantu siasatan kes membabitkan Perdana Menteri ke sembilan itu.

Difahamkan, keterangan Jovian penting berikutan beberapa dokumen yang perlu disahkan bekas suami anak sulung Ismail Sabri.

Sebelum ini, pasukan penyiasat SPRM dilapor akan mengambil keterangan Jovian yang berlangsung selama dua hari dengan pihaknya sudah membuat temu janji dan menetapkan lokasi di Jakarta.

Keterangan Jovian diambil di Jakarta kerana bekas suami Nina Sabrina dilaporkan kembali menetap di negara berkenaan selepas mengumumkan penutupan operasi fesyennya tahun lalu.

Azam turut mengesahkan, pihaknya akan merakam keterangan Jovian susulan siasatan terhadap pemilikan aset membabitkan Ismail Sabri.

Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Azam dilapor berkata, siasatan dibuat susulan arahan supaya Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.

Ismail Sabri pada 10 Februari lalu membuat pengisytiharan harta dan SPRM sedang menganalisis sumber perolehan aset berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast