Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelaksanaan penuh Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (Qualified Resident Investor, QRI) bagi syarikat pemastautin yang layak, berkuat kuasa 1 Julai 2025.

Bank pusat itu dalam kenyataan hari ini berkata, ia sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan aliran dana dua hala dalam pasaran pertukaran asing tempatan.

Jelasnya, pelaksanaan penuh QRI itu diperluas berikutan kejayaan program rintis yang diperkenalkan pada bulan April 2024.

“Sejak mula dilaksanakan, program QRI telah menjana aliran masuk dana berjumlah lebih AS$1 bilion daripada syarikat-syarikat peserta ke dalam pasaran kewangan domestik,” katanya.

Menurut BNM, pelabur pemastautin yang layak hanya perlu melengkapkan pendaftaran sekali sahaja untuk mendapatkan fleksibiliti QRI bagi melaksanakan aktiviti pelaburan langsung luar negeri pada masa akan datang tanpa perlu mendapatkan kelulusan tambahan terlebih dahulu daripada BNM.

Bagi menikmati fleksibiliti tersebut, pelabur pemastautin hendaklah terlebih dahulu membawa balik dan menukarkan perolehan dana mata wang asing yang menepati syarat kepada ringgit setelah berjaya mendaftar dengan BNM.

Jelasnya, definisi pelabur yang layak adalah syarikat pemastautin yang membawa balik dan menukarkan dana perolehan mata wang asing hasil daripada pelaburan luar negeri kepada ringgit dan menunjukkan amalan tadbir urus korporat yang baik serta pematuhan kepada dasar pertukaran asing BNM.

Tambahnya, program QRI akan tersedia hingga 30 Jun 2028.

Maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh didapati melalui bnm.gov.my/fep. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast