KUALA LUMPUR – Peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025 merupakan langkah reformasi fiskal untuk memperkukuh kewangan negara secara adil dan progresif.
Barangan asas seperti ayam, daging, udang, buah tempatan, baja dan simen akan kekal dikecualikan daripada Cukai Jualan (CJ), memastikan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana tidak terjejas.
Selain itu, perkhidmatan penting juga masih dikecualikan daripada skop peluasan cukai perkhidmatan (CP).
Perkhidmatan kritikal seperti pendidikan dan kesihatan swasta hanya dikenakan cukai kepada bukan warganegara atau institusi elit dengan yuran tinggi, manakala perbankan asas, kewangan Islam dan pengiriman wang kekal bebas cukai demi melindungi B40 dan M40.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee menyifatkan peluasan skop SST sebagai strategi fiskal yang wajar.
“Cukai ini sangat kritikal, terutama untuk negara mengekalkan keseimbangan fiskal dan mengelakkan krisis ekonomi. Jika bergantung kepada hutang, beban akan bertambah.
“Saban tahun perbelanjaan negara meningkat melibatkan bantuan rakyat rentan, kos infrastruktur, pendidikan dan kesihatan. SST akan memberikan ruang fiskal yang lebih luas untuk dasar yang lebih inklusif dan pro-rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa SST kali ini menyasarkan perkhidmatan dan produk mewah yang lazimnya hanya dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.
“Cukai dikenakan hanya pada aktiviti bukan asas seperti barangan mewah, bukannya keperluan harian. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kos sara hidup rakyat,” katanya.
Namun, beliau turut menarik perhatian mengenai kesan tidak langsung berikutan peluasan skop SST.
“Kos logistik boleh memberi impak kepada harga barang. Walaupun barang asas dikecualikan, kesan rantaian tetap berlaku di mana pengguna akhirnya akan terasa.,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan perlu sentiasa memantau perkembangan peluasan skop SST dan sentiasa melaksanakan proses libat urus dengan semua pihak berkepentingan terutama rakat.
“Proses libat urus perlu diteruskan. Jika tidak dikawal dengan baik, kesan cukai ini tetap akan kembali membebankan golongan berpendapatan rendah.”
Barangan dan Perkhidmatan Yang Dikenakan Cukai
Antara barangan yang akan dikenakan CJ pada kadar 5% atau 10% termasuk:
- Ikan salmon, trufel, strawberi import
- Minyak pati, sutera, basikal lumba, lukisan antik
Perkhidmatan baharu di bawah CP pula merangkumi:
- Sewaan atau pajakan
- Kerja pembinaan
- Perkhidmatan kewangan
- Penjagaan kesihatan swasta
- Pendidikan swasta
- Perkhidmatan kecantikan
Pengecualian khas turut diberi termasuk:
- Sewaan kediaman dan oleh PMKS dengan jualan tahunan di bawah
- RM500,000Projek pembinaan kecil bernilai bawah RM1.5 juta
Syarikat yang kini termasuk dalam skop CP tetapi belum berdaftar diberi masa hingga Ogos 2025 untuk mendaftar. Kutipan hanya bermula September 2025, tanpa sebarang penalti sepanjang tempoh penyesuaian ini tanda keprihatinan kerajaan terhadap kesiapsiagaan industri.
Strategi Jangka Panjang untuk Negara
Berbeza dengan GST yang menyeluruh, peluasan skop SST kali ini lebih bersasar dan bertimbang rasa. Pendekatan ini memastikan hanya mereka yang berkemampuan menyumbang lebih, tanpa membebankan rakyat kebanyakan.
Dengan memperluaskan asas percukaian secara adil, kerajaan dapat meningkatkan hasil negara secara mampan yang penting untuk menampung perbelanjaan sektor seperti pendidikan, kesihatan dan bantuan rakyat.
Langkah ini juga mengurangkan kebergantungan kepada hasil tidak menentu seperti komoditi, sekali gus memperkukuh kestabilan fiskal negara dalam jangka panjang. – MalaysiaGazette















