NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 120 orang dikhuatiri maut selepas penerbangan Air India yang membawa 242 penumpang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad.
Pesawat itu, dalam perjalanan ke London, terhempas di kawasan perumahan, lima minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sardar Vallabhbhai Patel di Gujarat.
Antara 242 penumpang, 169 penumpang adalah warga India, 53 warga Britain, tujuh Portugis dan seorang Kanada. Bekas Ketua Menteri Gujerat Vijay Rupani juga disyaki berada di dalam pesawat Air India ke London.
Perdana Menteri India mengarahkan operasi menyelamat dan bantuan segera dilaksanakan.
Sementara itu, media tempatan melaporkan tragedy itu menyebabkan kawasan di sekitar menjadi kelam-kabut apabila orang ramai berlari menyelamat diri masing-masing.
Media-media menggambarkan asap masih berkepul-kepul dari runtuhan bangunan di lokasi nahas.
Semua orang berlari, cuba menyelamatkan sebanyak mungkin nyawa.
Anggota bomba boleh dilihat memilih jalan melintasi tanah terbakar, cuba memadamkan serpihan api yang masih membara.
Ambulans berada di seluruh kawasan menyebabkan jalan raya sesak.
Boeing 787 Dreamliner itu turun terhempa sejurus selepas berlepas pada petang Khamis waktu tempatan, menuju ke Lapangan Terbang Gatwick.
Beberapa saksi mendakwa mereka mendengar bunyi yang kuat terlebih dahulu, kemudian kepulan asap hitam.
Pesawat itu terhempas di asrama doktor berhampiran hospital awam, tidak jauh dari lapangan terbang.
Setakat ini tidak diketahui berapa ramai orang di dalam asrama berkenaan.
Gambar-gambar yang tersebar di media sosial pula menunjukkan banyak mangsa diusung dan dimasukkan ke dalam ambulans. – Agensi
















