Bekas pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas dibebaskan dari pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan, di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JUN 2025.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Muhammed Yusoff Rawther menegaskan tidak akan berganjak daripada saman sivil yang dikemukakannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau akan tetap berjuang menegakkan keadilan kepada dirinya menerusi sistem kehakiman negara.

“(Mengenai saman sivil saya akan) Tetap berjuang. Saya nak mencari keadilan. Saman sivil yang dimulakan akan tetap diteruskan (selepas) saya disalahkan, dianiaya dan dilakukan macam-macam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi hari ini yang melepas dan membebaskannya daripada tuduhan dua pertuduhan membabitkan pengedaran dadah jenis kanabis dan pemilikan dua pistol tiruan.

Mengulas lanjut, beliau mengucapkan penghargaan kepada  pihak yang memberi sokongan kepada dirinya, keluarga dan pasukan pembelaan sepanjang pertuduhan terhadapnya berlangsung.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana menjaga saya selama ini. Kedua, saya amat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan saya memberi sokongan kepada peguam dan keluarga saya.

“Saya rasa kemenangan hari ini adalah untuk semua rakyat Malaysia,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut mengucapkan penghargaan  terhadap pegawai penjara yang sentiasa menjaga keselamatan dan kebajikan dirinya sepanjang penahanannya sejak tahun lalu.

“Paling penting saya nak ucap terima kasih kepada tahap profesionalisme pegawai penjara yang menjaga keselamatan dan kebajikan saya,” tambahnya.

Sebagai rekod, Muhammed Yusoff mendakwa berlaku serangan seksual terhadap dirinya pada 2018 dan menuntut ganti rugi manakala Anwar menafikan tuduhan itu dan memfailkan tuntutan balas, menyifatkan dakwaan sebagai palsu dan tidak berasas.

Kemudian Mahkamah Rayuan baru-baru ini membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kes saman yang dikemukakan Muhammed Yusoff itu.

Kes saman berhubung satu insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri itu ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bermula 16 Jun ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast