Pengamal media masih berada di kediaman seorang individu bergelar Tan Sri berhubung penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang masih berlansung setakat jam 7.30 malam ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Sudah melebihi 10 jam, proses rakaman melibatkan seorang Tan Sri berhubung penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang masih berlansung setakat jam 7.30 malam ini.

Proses rakaman yang memasuki hari kedua itu bermula jam 9 pagi tadi melibatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk Pasukan Taktikal SPRM (ACTS).

Sehingga berita ini ditulis, pengamal media masih berada di kawasan berhampiran bagi membuat liputan.

Tinjuan MalaysiaGazette sejak jam 8 pagi tadi mendapati, kawasan kediaman pemegang konsesi lebuhraya itu yang terletak di Bandar Tasik Selatan dikawal ketat oleh beberapa anggota polis bantuan.

Seawal jam 8.45 pagi tadi, sebuah kenderaan Toyota Vios membawa pegawai SPRM telah memasuki kediaman itu untuk merakam keterangan Tan Sri terbabit.

Ia disusuli empat kenderaan melibatkan dua van putih dan dua kereta jenis Grand Livina serta Honda City dengan ACTS SPRM lengkap bersenjata pada pukul 10.50 pagi.

Semalam, proses rakaman percakapan individu bergelar Tan Sri itu mengambil masa kira-kira enam jam bermula pada jam 9 pagi dan selesai pada jam 3.07 petang.

Kawalan ketat oleh pasukan polis bantuan di kediaman Tan Sri berkenaan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 JUN 2025

Sebelum ini SPRM menjangkakan siasatan berhubung penyelewengan sukuk bagi projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, mengambil masa satu hingga dua bulan lagi untuk diselesaikan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata tempoh itu diperlukan berikutan jumlah saksi yang ramai dan dokumen kewangan yang perlu dianalisis secara terperinci.

Ujarnya, siasatan masih berjalan dan pasukan penyiasat sedang meneliti pelbagai aspek penting termasuk dokumen serta penyata kewangan berkaitan.

Azam berkata, pemegang konsesi lebuh raya berkenaan merupakan saksi utama dalam siasatan kes terbabit.

Setakat ini, SPRM sudah merekodkan keterangan kira-kira 53 saksi bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast