PUTRAJAYA – Seramai 500,000 pengunjung disasarkan menghadiri program sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2025 yang akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, pada 1 hingga 3 Ogos depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program yang memasuki tahun ke-50 penganjuran itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, sambutan yang bertemakan `Kudrat Kami Menjamin Pertiwi’ itu juga disasarkan mampu mengumpulkan nilai jualan sehingga RM100 juta.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, HPPNK kali ini akan mempersembahkan 18 segmen utama yang digerakkan di bawah empat fokus utama.
Fokus pertama, ujar beliau, adalah Agro Millenia yang memberi penekanan kepada penglibatan belia dalam sektor agroteknologi, manakala fokus kedua iaitu Cukup dan Terjamin mengetengahkan pelbagai inovasi bagi memastikan bekalan makanan negara kekal mampan dan berdaya tahan.

Selain itu, katanya, fokus ketiga pula adalah Sejahtera MADANI iaitu segmen yang membawa mesej kemampanan, rasa hormat dan kesejahteraan, sejajar dengan nilai-nilai MADANI yang diterapkan dalam dasar kerajaan hari ini.
Fokus terakhir, pula, tambah beliau iaitu Jualan dan Keusahawanan merupakan segmen yang menonjolkan identiti KPKM melalui pendekatan Agro MADANI yang berteraskan kepada nilai kesejahteraan dan ihsan.
“HPPNK tahun ini juga tampil dengan pelbagai daya tarikan yang lebih segar, inovatif dan berimpak tinggi.
“Salah satu tarikan utama adalah penganjuran Jualan Agro MADANI Mega yang berkonsepkan Makanan Malaysia MADANI, membawakan lebih 300 aneka menu makanan tempatan, termasuklah makanan popular dari Negeri Di Bawah Bayu serta makanan-makanan viral yang digemari masyarakat hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Prapelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2025 di Wisma Tani, di sini hari ini.
Tambah Mohamad, pelbagai pameran teknologi dan aktiviti interaktif turut disediakan untuk memperlihatkan kemajuan sektor agromakanan negara, sekali gus menyeru seluruh rakyat hadir dan menyokong sambutan HPPNK tahun ini.
“Saya berharap HPPNK 2025 akan menjadi pemangkin semangat baharu kepada warga peladang, penternak dan nelayan untuk terus maju, serta menarik lebih ramai golongan muda menyertai sektor agromakanan sebagai kerjaya yang membanggakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















