Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025 di BACC, Bangi. Foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2025.

BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memendekkan tempoh siasatan bagi kes rasuah berprofil tinggi hasil peningkatan kemahiran pegawai serta penggunaan teknologi terkini, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Menurut beliau, jika sebelum ini, siasatan terhadap kes berprofil tinggi boleh mengambil masa antara setahun hingga satu setengah tahun kini ia mampu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

“Ini hasil pendekatan kami yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan kemahiran pegawai serta penggunaan teknologi terkini.

“Kami telah menerima lebih 30,000 laporan sejak tahun 2020 tetapi penambahan bilangan pegawai bukanlah penyelesaiannya. Terus terang saya katakan, saya tidak nampak penambahan besar-besaran pegawai SPRM sebagai jalan terbaik untuk memerangi rasuah secara berkesan. Yang paling penting adalah pendekatan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Program Akreditasi Penguatkuasaan Undang-undang SPRM Kali Kedua di sini hari ini.

Tambah Azam, orang ramai boleh menjangkakan beberapa pengumuman dalam minggu-minggu akan datang berhubung kes berprofil tinggi yang akan dibawa ke mahkamah sebagai bukti kecekapan SPRM dalam menyiapkan siasatan dalam tempoh yang lebih singkat.

Mengulas lanjut mengenai usaha mempercepatkan siasatan, beliau berkata, antara faktor utamanya adalah penambahbaikan modul dan sistem siasatan.

“Daripada segi modul siasatan, kami akan gugurkan elemen yang sudah lapuk dan mencari pendekatan baharu yang menggunakan peruntukan undang-undang relevan untuk mempercepatkan proses siasatan.

“Kami juga membekalkan pegawai dengan kemahiran dan pengetahuan yang lebih baik,” jelasnya.

Selain itu, penggunaan teknologi terkini juga memainkan peranan penting dalam mempercepatkan siasatan.

“Contohnya, kira-kira 10 tahun lalu, kami perlu menghantar ramai pegawai untuk melakukan pemantauan tetapi kini kami hanya guna teknologi untuk mengesan suspek atau saksi.

“Jadi, dalam tempoh yang singkat, kami boleh mengesan individu yang dikehendaki,” katanya lagi.

Menurut Azam, SPRM turut bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan keupayaan penyiasatan mereka khususnya dalam aspek teknikal dan perakaunan forensik.

“Sebagai contoh, kami bekerjasama dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) untuk membantu dalam pengesanan aset dan perakaunan forensik.

“Kami juga menjalinkan kerjasama antarabangsa bagi membantu siasatan kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast