BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima sejumlah 34,819 laporan dalam tempoh lima tahun dari 2020 hingga April 2025.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan laporan tersebut, sebanyak 5,145 kertas siasatan telah dibuka, melibatkan 5,703 individu yang telah ditangkap.
Daripada jumlah tangkapan tersebut, sebanyak 2,479 individu telah didakwa dan 1,274 individu telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.
Dalam tempoh lima tahun ini juga, SPRM telah menyita sejumlah RM3,536,837,170.73 dan telah melucut hak harta bernilai RM27,872,939,473.96.
“Oleh itu, peranan anda sebagai graduan dalam bidang penguatkuasaan dan anti-rasuah amatlah penting. Anda bukan sahaja diharapkan untuk bebas daripada rasuah tetapi juga memikul tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran, memupuk kefahaman dan menjadi ejen perubahan dalam Masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM ke-2 Tahun 2025 di sini hari ini.
Azam menegaskan, tiada kompromi terhadap mana-mana pesalah rasuah termasuk anggota SPRM sendiri dan tindakan tegas akan diambil sekiranya ada di antara mereka yang didapati bersalah dan didakwa di mahkamah.
“Jadilah wira yang tidak didendangkan, berkhidmat dalam senyap tetapi teguh berpegang pada prinsip.
“Dalam dunia yang dipenuhi dengan kepalsuan, nilai integriti adalah kekayaan paling berharga yang perlu dipelihara,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















