Jegan menunjukkan cara sindiket memindahkan gas subsidi ke tong gas industri.

NIBONG TEBAL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar satu kegiatan haram menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di sebuah stor penyimpanan gas di Jawi di sini hari ini.

Kegiatan decanting atau memindahkan gas LPG bersubsidi kepada tong gas LPG industri itu dikesan selepas risikan selama tiga minggu, sebelum sepasukan anggota penguat kuasa melancarkan serbuan sekitar pukul 10.30 malam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, tiga lelaki termasuk seorang pengurus dan dua pekerja berusia 23 hingga 33 tahun ditahan ketika sedang memindahkan gas LPG bersubsidi daripada tong 14 kilogram ke dalam tong industri bersaiz 50 kilogram.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 236 tong LPG termasuk berisi dan kosong serta beberapa dokumen berkaitan disita.

Tiga lelaki tempatan ditahan dalam serbuan tersebut.

“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM77,044, melibatkan lebih 6,000 kilogram LPG,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, hasil siasatan mendapati kegiatan ini dijalankan dengan berselindung di sebalik premis yang hanya mempunyai lesen runcit.

Jelas beliau, pasukan penguat kuasa turut berdepan cabaran apabila mendapati terdapat ‘tonto’ yang diupah bagi memantau kawasan sekitar premis berkenaan.

“Modus operandi pula, mereka memindahkan bersubsidi ke tong gas industri pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Selain itu, pemindahan itu dibuat apabila ada permintaan daripada pihak industri.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu dan syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran yang melibatkan kes LPG ini,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan, sindiket itu dipercayai mampu menjual sekitar 200 tong LPG bersubsidi sebulan dan setiap tong dijual pada harga RM140 kepada pelanggan industri, berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM200. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast