Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad

GEORGE TOWN – Tiga lelaki warga Indonesia yang diselamatkan polis selepas dikurung hampir setahun di sebuah kondominium di Jalan Dr. Wu Lien Teh di sini pada 10 Jun lalu dipercayai masuk ke negara ini selepas dijanjikan pekerjaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua mangsa memasuki negara menggunakan pengangkutan feri sebelum dibawa ke rumah tersebut dan dikurung bagi mengelakkan mereka melarikan diri.

“Kesemua mangsa  tidak bekerja sepanjang berada di sini seperti yang dijanjikan. Sebaliknya mereka dikurung dan kadangkala kaki mereka dirantai oleh penjaga rumah.

“Polis masih meneruskan siasatan lanjut dan setakat ini belum ada tangkapan baharu dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rozak berkata, ketiga-tiga mangsa berusia antara 28 hingga 52 tahun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini menumpang di rumah saudara masing-masing.

“Kita juga telah merakamkan keterangan kesemua mangsa dan dua daripada empat suspek yang ditahan akan didakwa di mahkamah esok,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis selamatkan tiga lelaki Indonesia dikurung hampir setahun

Difahamkan mereka memasuki negara dari menerusi sempadan di negeri Johor dan sebelum ini dikurung di sebuah kediaman di Jelutong sebelum dipindahkan ke kondominium berkenaan empat bulan lalu.

Difahamkan, suspek yang merupakan penjaga diupah RM2,000 sebulan dan mereka juga tidak dibenarkan keluar dari rumah tersebut.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, empat individu termasuk seorang wanita warga asing direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengurung tiga lelaki warga Indonesia di sebuah kondominium di Jalan Dr. Wu Lien Teh di sini.

Perintah reman terhadap kesemua suspek yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu dikeluarkan Majistret Azlan Basri sehingga 14 Jun ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, tiga lelaki tempatan dan wanita warga asing itu ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki Indonesia yang datang dari Aceh untuk mencari saudaranya yang dilaporkan hilang tanpa jejak sejak setahun lalu.

Tiga mangsa tersebut dipercayai telah dikurung di rumah tersebut hampir setahun dengan keadaan kaki mereka dirantai menggunakan rantai besi serta diikat pada jeriji tingkap.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa tidak mengenali antara satu sama lain selain pasport mereka dipegang oleh salah seorang suspek atas alasan untuk mendapatkan pekerjaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast