GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Wanita Keadilan menuntut tindakan tegas dan segera khususnya daripada polis, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menangani isu kelucahan, jenayah pengantunan dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Ia susulan kewujudan halaman media sosial “Grup Budak Sekolah” yang dipercayai mempunyai unsur jenayah pengantunan dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak yang mencetuskan kemarahan banyak pihak.

Sambil mengecam sekeras-kerasnya kewujudan laman media sosial itu, Wanita Keadilan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak berkuasa perlu memastikan kanak-kanak terus dilindungi di bawah undang-undang negara.

Tambahnya, ibu bapa dan seluruh masyarakat juga diseru untuk sentiasa cakna dan bertanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada elemen keganasan seksual.

“(Ini) termasuk memantau kewujudan halaman/kumpulan media sosial yang mempunyai unsur kelucahan, jenayah pengantunan dan gangguan seksual serta memantau komen jelik yang menyentuh maruah kanak-kanak.

“Seluruh masyarakat diseru untuk segera bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa dan mengambil tanggungjawab melindungi kanak-kanak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kewujudan laman sosial kumpulan Facebook dikenali sebagai ‘Grup Budak-budak Sekolah Rendah’ yang mencetuskan kemarahan ramai susulan penyebaran gambar remaja perempuan dengan tujuan tidak senonoh.

Difahamkan, kumpulan laman sosial itu telah wujud sejak 15 Mei 2014 dan mempunyai kira-kira 12,000 ahli namun kini tidak lagi boleh diakses sejak mula didedahkan orang ramai sejak kelmarin.

Sementara itu, Wanita Keadilan menyatakan komitmen untuk memainkan peranan proaktif termasuk dengan melaksanakan siri advokasi dan literasi perlindungan kanak-kanak dalam komuniti.

“Ini penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk melindungi kanak-kanak dan seluruh komuniti daripada gangguan seksual.

“Isu keselamatan di media sosial turut perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast