Gambar hiasan.

SEREMBAN – Warden asrama sebuah pusat pengajian Al-Quran di Jempol, mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan liwat dan satu pertuduhan amang seksual terhadap pelajarnya.

Tertuduh, Mohd. Khairi Fitri Baharom, 38, menangis teresak-esak ketika membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairi Fitri dituduh meliwat dua kanak- kanak masing-masing berusia 13 tahun empat bulan dan 10 tahun tujuh bulan serta melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun empat bulan.

Kesalahan dilakukan di pusat pengajian berkenaan di Batu Kikir, Jempol dari Disember 2023 hingga Januari lalu

Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagi kesalahan liwat pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai memberi pengajaran dan pengakuan bersalah tertuduh bukan faktor untuk meringankan hukuman.

Hakim kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula dari tarikh tangkap serta dua sebatan serta mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling dan pengawasan polis selama setahun selepas dibebaskan.

Dalam pada itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas enam lagi pertuduhan liwat dan enam pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak bawah umur.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu terhadap tujuh kanak-kanak berusia dari lapan hingga 12 tahun sembilan bulan (ketika kejadian).

Perbuatan itu dilakukan di pusat pengajian berkenaan dan di sebuah rumah beralamat di Kampung Rambang Panas, Juasseh, Kuala Pilah dari Mac 2024 hingga Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta 792 serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Tiada jaminan dibenarkan dan sebutan semula bagi lantikan peguam serta serahan dokumen pada 14 Julai. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast