KUALA LUMPUR – MCA berpegang teguh terhadap akauntabiliti data dan hak privasi rakyat Malaysia tetapi bukan bermakna menolak pembangunan dan kepesatan teknologi.
Sebaliknya MCA mempertahankan rakyat dan memerangi penyalahgunaan, kata presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Beliau berkata demikian mengulas penghakisan kepercayaan awam yang serius. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selaku agensi di bawah Kementerian Komunikasi telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat telekomunikasi menyerahkan data panggilan telefon orang ramai di Malaysia – tanpa persetujuan, tanpa ketelusan dan tanpa sebarang perlindungan keselamatan, privasi.
“Kerajaan mengatakan ia adalah untuk pengumpulan data bagi keperluan ‘statistik’ rasmi. Tetapi apabila kita menelitinya, ia melibatkan – sejarah lokasi, ID peranti, log panggilan, corak akses Internet. Ini jelas bahawa ia bukan hanya mengenai data semata-mata, tetapi ia juga adalah pengawasan atau kawalan,” katanya dalam kenyataan sidang video hari ini.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Air Hitam berkata, apakah kerajaan fikir kita semua percaya bahawa pengumpulan data ini tiada kaitan dengan pengawasan dan kawalan terhadap rakyat.
“Kerajaan mungkin berkata “tiada apa yang perlu dirisaukan.” Realitinya — semakin kuat kerajaan menafikan, semakin ramai rakyat Malaysia disekat suaranya.
“Jangan nafikan kebenaran. Data yang dikumpul ini boleh dijadikan senjata. Ia boleh memberitahu di mana anda tidur dengan siapa anda bercakap, ke mana anda pergi, sama ada anda menghadiri protes atau melawat hospital, hadir program politik,” katanya.
Apabila data itu berada di tangan orang politik yang tidak bertanggungjawab dengan memanipulasikannya dan tidak sehaluan dengan kita — maka bersiap sedialah menerima akibatnya, kata Ka Siong.
Justeru MCA mencadangkan protokol pengecaman individu (anonymisation protocols) yang telus, diaudit secara bebas dan pilihan keluar (opt-out) untuk pengguna (membolehkan individu menolak atau menarik diri daripada menyertai sesuatu aktiviti seperti menerima komunikasi pemasaran) – tidak berselindung dengan terma perundangan yang kabur.
“Mewajibkan perundingan awam sebelum membuat pengumpulan data di masa akan datan, pembaharuan undang-undang untuk memperkasa Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan diperluas meliputi agensi-agensi kerajaan,” ujarnya.
Selain itu, tempoh pemadaman data yang boleh dikuatkuasakan. Dasar atau peraturan yang menetapkan tempoh sesuatu data peribadi mesti dipadam dan pihak berkenaan wajib mematuhinya.
“Menghentikan segala bentuk ugutan atau ancaman alam siber — rakyat Malaysia berhak untuk bersuara tanpa rasa takut.
“Mekanisme pengawasan yang benar-benar bebas — bukan sekadar ‘pak turut’ kepada pihak tertentu. Ini bukan isu politik. Sebaliknya ia melibatkan kepentingan awam. Apabila kritikan disekat dan pengumpulan data dipenuhi dengan intimidasi (menakut-nakutkan, mengugut atau memberi tekanan) – maka ia bukan lagi hanya mengenai statistik.
“Tetapi ia menimbulkan persoalan, sama ada ini negara demokrasi atau sebaliknya? Data adalah kuasa. Semua maklum, kuasa yang tidak dikawal membawa kepada penyalahgunaan. Jangan tunggu sehingga privasi menjadi mainan mereka yang memiliki kuasa dan pengawasan atau kawalan yang menceroboh privasi menjadi kebiasaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















