KUALA LUMPUR – Seorang pelakon dan penyanyi terkenal akan didakwa di Mahkamah Putrajaya kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan. Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pertuduhan akan dibuat pada hari Selasa, 17 Jun 2025, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Menurutnya, polis sudah mendapat arahan tuduh ke atas suspek daripada Pejabat Pendakwa Raya Selangor pada hari ini.
“PDRM komited dalam memastikan keadilan ditegakkan dan siasatan dijalankan dengan teliti bagi melindungi hak mangsa serta menjamin ketelusan proses peundangan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pada 4 Jun lalu, pelakon dan penyanyi ini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa berusia 17 tahun itu difahamkan mengenali artis terbabit ketika bekerja di sebuah kafe sebelum mereka beberapa kali bertemu susulan perkenalan itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek kemudian membawa mangsa berjumpa di sebuah hotel.
“Ketika dalam pertemuan itu suspek melakukan perbuatan amang seksual fizikal kepada mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette















