KUALA LUMPUR – Banglo milik usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat dilelong lagi buat kali kelima apabila masih gagal dijual sehingga kini.
Perkara itu dikongsi ejen hartanah dikenali sebagai Ishaq Marazi menerusi hantaran di Facebook yang turut memaklumkan banglo itu kini dilelong pada harga RM3.411 juta.
Katanya, ia merupakan harga termurah banglo itu setakat ini selepas kali pertama dilelong pada harga RM5.2 juta.
“Dulu selepas migrate (berhijrah) ke Australia nur sajat nak jual rumah ni rm9juta+.
“Sekarang rumah ini dilelong bank RM3.411 juta sahaja,” katanya menerusi hantaran malam tadi.
Berdasarkan perkongsian Ishaq Marazi, banglo dua tingkat milik Nur Sajat itu terletak di Selangor Polo 7 Country Club, Seksyen 10, Petaling Jaya, dekat sini.
Banglo bersaiz 7,000 kaki persegi yang terletak di kawasan tanah seluas 11,093 kaki persegi itu memiliki enam bilik tidur dan tujuh bilik mandi.
Menurut Ishaq Marazi, tarikh lelongan terbaharu banglo itu akan dibuat pada 25 Ogos depan.
Kediaman itu sebelum ini pernah cuba dijual Nur Sajat sejak dia berhijrah ke Australia pada Oktober 2021 pada harga RM9.5 juta, namun tiada pembeli.
Banglo itu itu dibeli Nur Sajat daripada usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruddin pada harga RM7.5juta pada 2017.
Beberapa bulan lalu, Ishaq Marazi turut berkongsi banglo itu pernah dilelong pada 5 Mac lalu pada harga RM3.79 juta, namun tiada pembida menyebabkan harganya diturunkan lagi ke RM3.4 juta. – MalaysiaGazette
















