MELAKA – Ibu dan anak sulungnya yang disyaki dibunuh oleh seorang lagi anaknya di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai Melaka di sini awal pagi semalam sempat berkongsi hantaran mendoakan ketiga-tiga anak lelakinya membesar menjadi insan berguna.
Hantaran itu dibuat oleh guru berusia 51 tahun berkenaan yang mengajar di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di sini melalui Facebook (FB) sempena sambutan Hari Ibu pada 11 Mei lalu.
“Terima kasih Jarek (anak sulung) kerana buat video pendek untuk saya sebagai hadiah Hari Ibu tahun ini.
“Walaupun ibu tidak dapat meraikan tahun ini, ibu sangat gembira kerana ini adalah kali pertama menerima video pendek yang dibuat untuk ibu.
“Ibu harap, semua anak-anak ibu akan taat, membesar dengan sihat dan bahagia serta menjadi orang yang berguna! Sayang buat semua,” tulisnya melalui hantaran dalam tulisan Mandarin itu yang dibuat pada 11 Mei lalu.
Turut disertakan dalam hantaran itu adalah video pendek berdurasi satu minit 15 saat dihasilkan anak sulungnya berusia 21 tahun yang turut menjadi mangsa pembunuhan kejam itu, semalam.
Menerusi video berkenaan, dapat dilihat mangsa berkongsi detik manis 25 keping gambar kenangan sekeluarga lima beranak sejak 16 tahun lalu termasuk mendiang suaminya yang telah meninggal dunia awal Januari lalu.
Berdasarkan gambar yang dikongsi, ibu tunggal itu turut mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Kementerian Pendidikan Malaysia pada 25 April 2019 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Pejabat Pelajaran Daerah Seremban pada 22 Jun 2009.
Turut dikongsi adalah gambar kenangan mangsa di tempat kerja selain bersama ahli keluarga yang lain.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan kes pembunuhan yang menggemparkan negara apabila dua beranak itu ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah setingkat berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi.
Mangsa anak sulungnya, 21, maut dengan beberapa kesan tikaman di badan dan leher manakala anak bongsunya, 13, turut cedera parah apabila ditikam anak keduanya berusia 17 tahun menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar turut mengesahkan faktor tekanan dan dendam terpendam daripada ibu dan abang suspek yang sering memaksanya belajar dipercayai menjadi motif utama dua beranak itu dibunuh kejam.
Remaja 17 tahun itu ditahan di luar garaj rumah selepas berada keadaan bingung ketika polis tiba dan hasil pemeriksaan menjumpai pisau yang dipercayai digunakan di dalam beg sekolahnya.
Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga 19 Jun ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette
















