Antara sembilan mangsa wanita warga Filipina yang diselamatkan. - Foto Imigresen Putrajaya

KUALA LUMPUR – Sindiket aktiviti pemerdagangan manusia berselindung di sebalik sebuah agensi pekerja melibatkan pembantu rumah warga Filipina di Klang, Selangor berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen, Ismail Mokhtar berkata, serbuan dilakukan di tiga premis berbeza berdasarkan aduan awam dan risikan dijalankan selama dua minggu oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Katanya, modus operandi sindiket ini dengan membawa masuk migran dari negara sumber melalui janji tawaran pekerjaan dan pihak agensi akan mengikat mangsa dengan kontrak yang ditandatangani.

“Mereka tidak dibenarkan pulang ke negara asal serta diwajibkan bekerja dan membayar sejumlah bayaran tinggi ditetapkan agensi, malah diarahkan bekerja separuh masa sebagai pembantu rumah bersama beberapa majikan yang berbeza.

“Kadar bayaran harian (perkhidmatan) antara RM70 hingga RM120 namun bayaran gaji itu diserahkan sepenuhnya kepada agensi tanpa diberikan kepada mangsa atau tanpa persetujuan mereka.

“Mangsa turut dikenakan kawalan ketat seperti pasport yang dipegang oleh agensi, manakala telefon bimbit disimpan oleh penjaga premis dan hanya diberikan jika perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan operasi berjaya menahan seorang wanita tempatan disyaki sebagai dalang utama serta dua wanita warga Filipina dipercayai berperanan sebagai penjaga premis. Foto Imigresen Putrajaya

 

Katanya, JIM berjaya menahan seorang wanita tempatan disyaki sebagai dalang utama serta dua wanita warga Filipina yang menjadi penjaga premis.

“Operasi ini, kita berjaya menyelamatkan sembilan mangsa wanita warga Filipina dan menahan 10 wanita warga sama berusia antara 26 hingga 43 tahun.

“Kesemua mangsa yang diselamatkan disyaki telah dieksploitasi sebagai pembantu rumah, manakala kesemua migran yang ditemui tidak memiliki pasport atau pas lawatan yang sah,” jelasnya.

JIM turut menyita satu unit premis dipercayai dijadikan lokasi penahanan mangsa, beberapa naskhah pasport Filipina dan Indonesia, beberapa unit telefon bimbit yang mengandungi bukti komunikasi penting antara dalang dengan penjaga premis.

“Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“JIM juga telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670),” ujarnya.

Antara sembilan mangsa wanita warga Filipina yang diselamatkan dan menahan 10 wanita warga sama berusia antara 26 hingga 43 tahun. Foto Imigresen Putrajaya

 

Tegas beliau, JIM sentiasa memandang serius perkara itu dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang di bawah ATIPSOM 2007 (AKTA 670).

“Sabit kesalahan individu terlibat boleh dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan boleh dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670], sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 30 tahun atau penjara seumur hidup serta sebatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast