KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang nekad melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi setelah tempoh bercutinya tamat wajar dipersoal.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menyifatkan ia bukan bersandar kepada prinsip sebaliknya lebih bersifat canggung.
“Melihat hantaran Facebook Rafizi Ramli hari ini yang hadir buat ‘kali akhir’ ke kementeriannya yang memberi indikasi tuntas bahawa Rafizi benar-benar berkerat rotan berpatah arang dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.
“Saya terpanggil untuk memberikan teguran terbuka dan serius terhadap tindakan Rafizi yang ‘bersungguh-sungguh’ mahu meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi selepas kekalahan dalam pemilihan parti baru-baru ini.
“Banyak pihak memuji kononnya beliau berpegang pada prinsip. Namun pada saya, ini satu bentuk pelarian dari tanggungjawab yang masih belum selesai terhadap rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Ashraf turut mempersoalkan apakah Rafizi meletak jawatan kerana kalah atau hakikatnya kerana sudah tidak lagi relevan dalam Kabinet.
“Jika benar beliau sedang menunaikan amanah negara, mengapa perlu berhenti semata-mata kerana jawatan dalam parti? Ini ternyata bukan prinsip, ini adalah pelepasan tanggungjawab,” katanya lagi.
Mohd Ashraf Mustaqim turut menyenaraikan bebererapa perkara yang dianggap masih tidak selesai antaranya Pangkalan Data Utama (PADU), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan projek-projek yang dijanjikan sebelum ini kepada rakyat.
“Rafizi bina pelan besar reformasi ekonomi dan PADU disebut sebagai game-changer untuk sistem subsidi bersasar dengan gaji progresif dipromosi sebagai anjakan struktur ekonomi.
“RMK-13 pula dikatakan bakal membawa perubahan jangka panjang negara tetapi pada hari beliau umum letak jawatan, ketiga-tiga perkara ini masih belum selesai.
“PADU belum diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi. RMK-13 masih belum dibentang secara rasmi. Gaji progresif hanya kekal sebagai wacana bukan dasar terlaksana,” ujarnya.
Jelasnya lagi, siapa yang akan menjawab kepada rakyat jika perkara ini semua gagal dilaksanakan.
“Rafizi tidak pernah bentangkan kepada rakyat satu laporan lengkap tentang apa yang telah dilaksanakan. Tiada laporan keberhasilan dasar, tiada garis penyerahan projek dan yang ada hanyalah pengunduran dan ucapan sentimental.
“Di mana letaknya prinsip kalau tanggungjawab tidak ditunaikan hingga ke akhirnya?” soalnya lagi.
Jelasnya, tindakan Rafizi sebegitu Nik Nazmi Ahmad membuktikan bagaimana parti telah menjadi terlalu penting sehingga nasib rakyat dikorbankan kerana permainan jawatan dalaman.
“Adakah kelangsungan jawatan dalam PKR menjadi lebih utama dari keberlangsungan dasar ekonomi untuk rakyat? Apakah prinsip ini sudah tidak lagi dijunjung bila keputusan parti lebih menentukan kelangsungan jawatan, dan bukan prestasi kerja?
Rafizi melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan PKR. – MalaysiaGazette















