Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan pelajar ketika melawat lokasi kebakaran yang berlaku di Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan berganjak dengan pendirian untuk menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia akan tetap menghantar wakil bagi menghadiri persidangan tersebut.

“Mana-mana negara berhak hadir untuk mengemukakan pandangan mereka terutama keadilan bagi rakyat Palestin dan Gaza. Itu pandangan kita.

“Jadi, saya menyokong inisiatif dalam hal ini oleh Crown Prince Putera Diraja Salman dan juga Perdana Menteri Perancis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Az-Zubair Ibnul Awwam, Cheras di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan Amerika Syarikat (AS) dikatakan sedang melobi negara-negara asing supaya tidak menghadiri persidangan PBB minggu depan yang dianjurkan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi.

Persidangan tersebut dijadual berlangsung di New York dari 17 hingga 20 Jun dengan fokus utama terhadap penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Menurut laporan, Washington menegaskan mana-mana negara yang mengambil pendirian menentang Israel akan dianggap bertentangan dengan dasar luar AS dan mungkin berdepan akibat diplomatik.

Dalam mesej yang sama, AS turut menzahirkan penolakan terhadap sebarang pengiktirafan unilateral terhadap negara Palestin, sekali gus memperlihatkan pendirian tegas Washington dalam isu tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast