BRUSSELS – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pejabat Kebangsaan Pekerjaan Belgium (NEO) bagi membuka ruang baharu perkongsian pengetahuan di antara kedua-dua organisasi terbabit.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerjasama strategik itu juga berpotensi mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, khususnya dalam aspek perkhidmatan pekerjaan dan perlindungan keselamatan sosial.
Katanya, melalui kolaborasi itu, PERKESO berpeluang meneroka transformasi digital, strategi dan pembangunan dilaksanakan NEO, selain mendalami usaha membanteras penipuan rentas sempadan di peringkat global.

Dalam masa yang sama, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berpeluang untuk terus memperkukuh sistem perlindungan sosial dan perkhidmatan pekerjaan seperti yang diikrarkan sebelum ini.
“Kolaborasi PERKESO dan NEO menandakan komitmen KESUMA untuk menerapkan amalan terbaik global yang juga dijangka mampu memacu inovasi dan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam menghadapi cabaran pasaran kerja yang sentiasa berubah.
“Jika dibandingkan dengan Belgium, sistem keselamatan sosial di Malaysia masih berkembang dan beberapa aspek boleh diperkukuh, terutama dalam skim perlindungan keselamatan insurans pekerjaan dan lain–lain aspek termasuk penguatkuasaan, liputan dan integrasi yang melibatkan kedua-dua sektor pekerjaan formal dan tidak formal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pejabat Kebangsaan Pekerjaan Belgium (NEO) di Brussels, kelmarin.
Mengulas lanjut, Steven menyifatkan bahawa Belgium mempunyai sistem perlindungan sosial yang kukuh dengan faedah pengangguran dan program latihan semula yang berkesan, di samping terkenal dengan program latihan vokasional yang unggul serta kepakaran dalam sektor teknologi tinggi dan inovasi.
“Kerjasama ini turut merangkumi sektor teknologi dan inovasi, yang berpotensi memperkukuh dasar pekerjaan dan perlindungan sosial untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Pertukaran MoU berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif NEO, Dr. Jean Marc Vandenbergh, sambil disaksikan oleh Steven, Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah, Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak bersama Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO, Gayathri Vadivel. -MalaysiaGazette
















