KUALA LUMPUR – Perdagangan borong & runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM151.7 bilion pada April, merekodkan pertumbuhan 4.7 peratus tahun ke tahun.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan dalam jualan perdagangan borong dan runcit pada April 2025 didorong terutamanya oleh subsector perdagangan runcit dan perdagangan borong.
Subsektor perdagangan borong mencatatkan jumlah jualan RM67.3 bilion, merekodkan peningkatan sebanyak RM3.5 bilion atau 5.5 peratus tahun ke tahun, menunjukkan kestabilan aktiviti perniagaan di seluruh rantaian bekalan.
Manakala subsektor perdagangan runcit mencatatkan RM66.8 bilion, meningkat sebanyak RM3.0 bilion atau 4.7 peratus tahun ke tahun, selaras dengan peningkatan perbelanjaan pengguna sempena Hari Raya Aidilfitri.
Subsektor kenderaan bermotor pula mencatatkan jualan sebanyak RM17.6 bilion, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak RM0.4 bilion atau 2.1 peratus.
Menurut beliau, seiring dengan pertumbuhan sektor perdagangan, transaksi pembayaran digital di Malaysia mencatatkan peningkatan kukuh tahun ke tahun pada April 2025.
Transaksi wang elektronik (E-money) melonjak sebanyak 68.7 peratus kepada RM19.7 bilion, mencerminkan penggunaan yang lebih tinggi dalam pembayaran mikro dan runcit.
Tambahnya, transaksi melalui Real-time Retail Payments Platform (RPP) berjumlah RM277.8 bilion, kekal sebagai kaedah pembayaran dengan nilai
transaksi tertinggi.
Sementara itu, transaksi FPX meningkat sebanyak 25.4 peratus kepada RM35.5 bilion, disokong oleh aktiviti perbankan dalam talian yang lebih rancak.
Transaksi kad kredit kekal stabil pada RM17.7 bilion, manakala transaksi kad debit merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus kepada RM13.3 bilion.
Data ini menunjukkan perkembangan berterusan dalam penggunaan pembayaran digital, selari dengan perubahan corak transaksi serta integrasi digital yang semakin meluas dalam ekosistem pembayaran di Malaysia. – MalaysiaGazette
















