KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu dan akan meneliti penghakiman penuh keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff Rawther, semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sedia menambah baik melalui penilaian dalaman dan semakan semua prosedur standard (SOP penyiasatan jika ada kelompangan dan kelemahan ketara.
Razarudin menambah, setiap laporan polis yang dilaporkan akan disiasat dengan adil dan tanpa prejudis walaupun melibatkan suspek berprofail tinggi, termasuk dalam kes Muhammed Yusoff.
Manakala keputusan untuk pertuduhan dilaksanakan selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara.
Berhubung laporan polis yang dibuat oleh Muhammed Yusoff pada 12 September 2024, Razarudin berkata, ia telah disiasat selari dengan dua kertas siasatan yang dibuka berkaitan penemuan dadah dan pistol.
Ia tiada keperluan untuk mengambil kenyataan Perdana Menteri memandangkan tindakan tersebut telah diambil Ketika aduan dibuat oleh Yusoff di peringkat awal.
Jelasnya, pada peringkat tersebut, PDRM telah mengemukakan ke pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan untuk kedua-dua kes tersebut dan berpuashati setakat keterangan yang ada pada masa tersebut adalah mencukupi untuk menuduh Muhammed Yusoff tanpa memanggil mana-mana pihak lain untuk melengkapkan siasatan.
Razarudin menambah, sepertimana juga kes-kes lain yang diputuskan oleh mahkamah sebelum ini, PDRM sentiasa cakna keputusan-keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada PDRM dan sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam meningkatkan kualiti siasatan dan mengoptimumkan pendakwaan.
Semalam, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff tanpa perlu membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman berkata pendakwaan gagal buktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Muhammed Yusoff, 32, didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi 6 September tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.
Muhammed Yusoff turut didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
Yusoff Rawther dilepas dan dibebaskan pertuduhan edar dadah, miliki pistol tiruan
















