KUALA LUMPUR – Pengumuman penyelarasan dan peluasan Skim Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh Menteri Kewangan Kedua yang didakwa berlaku secara senyap dan sepintas lalu disifatkan sebagai satu silap mata.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap Ketua Biro Ekonomi Bersatu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, pengumuman tersebut dibungkus kemas dengan frasa seperti “bersasar”, “memperkukuhkan kewangan kerajaan” dan “menambahbaik penyampaian khidmat sosial”.
Bagaimanapun realitinya kata beliau, ia hanya menambah beban rakyat yang kini sedang bergelut dengan tekanan ekonomi.
“Kenyataan pedih dibaluti dengan gula-gula demi mengabui mata rakyat. Hakikatnya, Kerajaan Madani sudah ketandusan idea dalam mencari sumber kewangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, langkah memperluaskan cukai tersebut pada waktu negara sedang mengalami ketidaktentuan ekonomi, ditambah pula dengan kenaikan tarif dan unjuran pertumbuhan yang semakin mengecil, hanyalah satu bentuk cukai baharu yang bakal dipikul rakyat marhaen.
Ujarnya, antara sektor yang terkesan termasuk sektor pembinaan dan perkhidmatan yang mana bagi sektor Pembinaan, cukai berkenaan dikenakan berdasarkan sijil tahap pembinaan dan bukannya pembayaran yang diterima, sekaligus menekan aliran tunai syarikat pembinaan.
“Walaupun simen dikecualikan, pembinaan hari ini tidak lagi hanya berasaskan simen dan mortar. Komponen seperti mekanikal, elektrikal, bahan kaca, besi dan perkhidmatan tidak terkecuali daripada cukai ini,” ujarnya.
Mohamed Farid turut menyentuh sektor perkhidmatan juga akan terkesan dengan pengenaan cukai ke atas aktiviti sewa dan pajakan.
Ujarnya, meskipun sewa rumah dikecualikan, sewa premis perniagaan tidak mendapat pengecualian, termasuk sewaan mesin, kenderaan, pakaian, dewan dan servis kewangan seperti pajak gadai.
“Nilai ambang RM500,000 terlalu kecil dan akan menjerut perniagaan kecil serta menambah kos kepada pengguna,” katanya lagi.
Jelas beliau, pelaksanaan cukai ini adalah menyeluruh dan bukan bersasar seperti yang digembar-gemburkan kerajaan.
Susulan itu, beliau menggesa agar pelaksanaan cukai ini yang dijadual bermula 1 Julai 2025 ditangguhkan sehingga satu kajian impak menyeluruh dibuat, merangkumi kos sara hidup, pertumbuhan KDNK, harga hartanah serta risiko kegagalan projek pembinaan.
“Kerajaan Madani, di mana simpati kamu kepada rakyat?” soalnya. – MalaysiaGazette















