Menteri Pengangkutan, Antony Loke Siew Fook (tengah) bercakap kepada wartawan ketika hadir pada taklimat mengenai cadangan penggunaan Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 13 JUN 2025.

SHAH ALAM – Semua bas persiaran, bas ekspres dan kenderaan barangan berat melebihi 3,500 kilogram (kg) yang berdaftar sejak 10 tahun lalu diwajibkan untuk mendapatkan pengesahan kefungsian Peranti Had Kelajuan (SLD) bermula 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengesahan kefungsian SLD boleh diperolehi daripada pengilang ataupun pengeluar kenderaan yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Usaha ini sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat.

“Sijil pengesahan itu boleh diperolehi daripada perkhidmatan teknikal, bengkel atau fasiliti servis serta badan pensijilan bertauliah daripada Jabatan Standard Malaysia yang diiktiraf JPJ,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir taklimat penggunaan SLD bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd, Bukit Jelutong di sini.

Menteri Pengangkutan, Antony Loke Siew Fook (kiri) sedang memeriksa setting speed limit VCI (Vehicle Comunication Interface) pada bas di Scania (Malaysia) Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 13 JUN 2025.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

SLD merupakan peranti kawalan had laju atau sistem yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum kenderaan.

Susulan penguatkuasaan SLD, beliau berkata, had laju bagi semua kenderaan berat terlibat ditetapkan sehingga 90 kilometer sejam (kmj).

“Semua jenis bas dan kenderaan berat akan dihadkan kelajuan sehingga 90kmj maksimum dan ia tertakluk kepada kawasan yang dilalui,” katanya.

Anthony juga berkata, dokumen tersebut wajib diperbaharui setiap dua tahun dan perlu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dan ketika permohonan atau pembaharuan Permit di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Dokumen tersebut juga perlu dibawa setiap masa di dalam kenderaan bagi tujuan penguatkuasaan oleh JPJ.

“Penguatkuasaan Pengesahan Kefungsian SLD akan bermula 1 Oktober 2025,” katanya .

Scania Presales Engineer, Shahirwan Salamun sedang memeriksa setting speed limit VCI (Vehicle Comunication Interface) pada bas di Scania (Malaysia) Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 13 JUN 2025.

Selain itu, katanya, bagi kenderaan barangan lebih 3,500kg serta kenderaan penumpang lebih lapan orang dengan berat maksimum melebihi 5,000kg yang mempunyai fungsi SLD dalam ECU diwajibkan mengaktifkan peranti tersebut.

“Dokumen itu wajib diperbaharui setiap dua tahun dan perlu dibawa ke PPKM dan ketika permohonan atau pembaharuan Permit di APAD.

“Dokumen tersebut juga perlu dibawa setiap masa di dalam kenderaan bagi tujuan penguatkuasaan oleh JPJ,” katanya.

Selain itu, katanya, kenderaan rebuild dan barangan import terpakai dengan berat maksimum melebihi 3,500kg turut akan dikuatkuasakan.

“Penguatkuasaan pengaktifan SLD dalam ECU akan bermula 1 Januari 2026,” katanya.

Sementara itu, JPJ akan meluaskan aktiviti Conformity Of Production (COP) bermula pada April 2025 bagi model kenderaan perdagangan yang telah memiliki sijil Vehicle Type Approval (VTA) bermula dari 2015.

“Pemeriksaan di kilang-kilang pengeluaran akan memastikan had laju yang ditetapkan pada SLD adalah mengikut Had Laju Kebangsaan yang ditetapkan.

“Semua jenis bas dan kenderaan berat telah ditetapkan had laju maksimum 90km/j,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast