AHMEDABAD – Pesawat Air India yang terhempas beberapa minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, India, tengahari semalam sempat mengeluarkan isyarat kecemasan ‘mayday’.
Menurut Pengarah Jeneral Penerbangan Awam India (DGCA), juruterbang pesawat berkenaan sempat mengeluarkan isyarat tersebut menerusi komunikasi radio sebelum hilang hubungan dengan menara kawalan dan seterusnya terhempas.
Pesawat malang berkenaan, yang menggunakan kod penerbangan AI171, merupakan sebuah Boeing 787 Dreamliner yang berlepas dari landasan 23 pada jam 1.39 tengah hari waktu tempatan menuju ke Lapangan Terbang Gatwick, United Kingdom.
Seramai 242 individu berada dalam pesawat, termasuk dua juruterbang, 10 anak kapal dan 230 penumpang.
Hanya seorang sahaja mangsa disahkan selamat iaitu penumpang yang duduk di kerusi 11A, Ramesh Vishwakumar.
Pakar penerbangan, Sanjay Lazar, ketika mengulas insiden itu kepada NDTV, berkata kegagalan teknikal dipercayai berlaku ketika pesawat berada pada ketinggian rendah sekitar 825 kaki, iaitu hanya beberapa saat selepas berlepas.
DGCA turut memaklumkan bahawa pesawat itu dikendalikan oleh Kapten Sumeet Sabharwal yang mempunyai 8,200 jam pengalaman penerbangan, manakala pembantu juruterbang, Clive Kundar, mencatatkan 1,100 jam penerbangan.
Rakaman video berdurasi 17 saat yang tular di media sosial menunjukkan pesawat menjunam ke kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang sebelum meletup dan disusuli kepulan asap hitam pekat naik ke udara.
Lebih dua dozen ambulans digerakkan ke lokasi kejadian sejurus selepas nahas berlaku, dan pihak polis mengalihkan lalu lintas bagi memudahkan operasi kecemasan dan menyelamat.
















