Logo DAP.

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, menyatakan kesediaan partinya untuk bekerjasama dengan parti-parti lain, termasuk MCA, dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun, Kor Ming menegaskan bahawa kerjasama itu hanya akan terjalin sekiranya MCA menghentikan sikap memburuk-burukkan DAP.

“Pintu (kerjasama) terbuka, tetapi syaratnya adalah MCA perlu menunjukkan keikhlasan terlebih dahulu dan bukannya asyik memburuk-burukkan serta menyerang, tetapi mengharapkan kerjasama pada masa yang sama,” katanya.

Beliau dipetik Kwong Wah Yit Poh berkata demikian dalam satu wawancara bersama akhbar Cina.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menambah, jika MCA berterusan dengan sikap sedemikian, orang ramai juga tidak akan mengharapkan kerjasama antara kedua-dua parti.

Beliau turut mendedahkan bahawa ramai ahli akar umbi MCA meluahkan kekecewaan terhadap pucuk pimpinan parti mereka, sambil menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Kor Ming berpendapat, jika MCA tidak sehaluan dengan Kerajaan Perpaduan, mereka sewajarnya menolak sumber-sumber kerajaan.

Katanya, daripada 613 kampung baru yang ada, seramai 121 ketua kampung adalah dari MCA.

“Saya tidak memecat ketua kampung MCA atau mengurangkan peruntukan kepada mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, pemenang pertandingan perhiasan Tahun Baharu Cina adalah Machap Baru, yang mana ketua kampungnya adalah dari MCA, dan hadiah tetap diberikan secara saksama.

Kor Ming mengkritik MCA kerana menunjukkan sikap oportunis, yakni menerima sumber dan peruntukan kerajaan, tetapi pada masa yang sama terus mengutuk kerajaan.

“Memandangkan anda masih berada dalam kerajaan, maka haruslah menghormati.

“Tidak boleh menyertai kerajaan yang memerintah, tetapi tidak mahu bertanggungjawab terhadap polisi yang dirangka kerajaan. Ini adalah tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast