[GAMBAR FAIL] Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan bangkai bas yang terlibat dalam nahas kemalangan jalan raya yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mewajibkan pengendali bas dan logistik memasang sistem telematik untuk dihubungkan kepada pangkalan data pemandu sebagai antara syarat pelesenan.

Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata sehingga kini masih ramai pemandu yang mempunyai banyak saman namun masih dibenarkan memandu kenderaan berat termasuk lori, bas ekspres, bas henti-henti dan bas persiaran.

Jelasnya, ia berpunca daripada ketiadaan penyelarasan antara agensi penguatkuasa bagi tujuan rekod kesalahan trafik dan keselamatan kenderaan bagi pemegang lesen vokasional iaitu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) untuk bas dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dalam sektor logistik.

“Saya merujuk kepada laporan berita mengenai pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bakal membangunkan sistem pangkalan data untuk pemandu bas ekspres dan persiaran, lengkap dengan rekod mereka sebelum ini, bagi meningkatkan keselamatan pengangkutan darat.

“Sudah menjadi perkara biasa untuk kita mendengar bahawa pemandu mempunyai begitu banyak saman tetapi masih dibenarkan memandu kenderaan berat termasuk lori, bas ekspres, bas henti-henti dan bas persiaran.

“Selama bertahun-tahun, ia telah menjadi kegagalan di pihak Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), APAD dan polis,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, sekitar lapan tahun lalu, sudah terdapat usaha oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)menangani masalah ini dengan membangunkan Sistem Maklumat Pemandu (DIS) untuk pemandu teksi.

Ianya bagi tujuan penilaian merit atau demerit.

Menurut Shahrim, SPAD pada 2017 cuba melaksanakan sistem pangkalan data berpusat atau dikenali sebagai Drivers and Commercial Vehicles Information System (DCVIS) mengikut rangka serupa DIS untuk teksi, kenderaan berat dalam sektor pengangkutan dan logistik merangkumi bas ekspres, bas persiaran, lori, pengangkutan haulage dan bas henti-henti.

Walaubagaimanapun katanya, rancangan itu terbantut dan terpaksa diberhentikan apabila SPAD dibubarkan secara berperingkat pada penghujung 2018.

“Objektif SPAD pada ketika itu adalah untuk melaksanakan sistem elektronik untuk pangkalan data pemandu bersepadu ke dalam semua rekod pengendali bagi tujuan saringan pemandu dengan rekod yang baik (kesalahan lalu lintas dan jenayah).

“DCIVS yang dicadangkan juga merupakan satu usaha untuk merekodkan sejarah dan kesalahan trafik kenderaan bas, lori, bas ekspres, bas henti-henti dan bas persiaran.

“Dalam erti kata lain, jika sistem mendapati bahawa pemandu dan/atau kenderaan mempunyai banyak saman tertunggak, ia tidak akan menghidupkan enjin,”katanya.

Justeru katanya, sudah tiba masanya APAD dan Kementerian Pengangkutan kembali projek tersebut.

“Saya menggesa kerajaan supaya tidak hanya berhenti pada sistem pangkalan data pemandu.

“Ini adalah merupakan peluang keemasan untuk APAD dan JPJ membangunkan juga satu sistem pengesanan (telematik) dan pengurusan rekod yang menyeluruh bagi pengendali kenderaan berat. Ia dipanggil Sistem Hab Pemantauan Prestasi (PMHS).

Shahrim turut menyeru Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pengangkutan supaya bergerak seiring dalam mengatasi rekod yang tidak diselaras melalui Jawatankuasa Kesesakan dan Keselamatan Jalan Raya di peringkat Kabinet, yang kini dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Akhir kata, saya berharap sistem Kejara juga dimasukkan ke dalam sistem pemantauan PMHS yang menyeluruh ini telematik dan sistem maklumat pemandu yang akan dibangunkan oleh APAD.

“Mohon kerajaan atasi masalah rekod tidak selaras secepat mungkin demi menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast