KUALA LUMPUR – Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai mengesahkan tiada warga Malaysia terlibat dalam nahas Air India yang terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad pada 12 Jun 2025.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral di Mumbai sedang memantau rapat perkembangan situasi ini dan akan mengeluarkan makluman lanjut sekiranya perlu.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri Malaysia berdukacita dengan insiden nahas tragik melibatkan Penerbangan Air India AI171 ke London Gatwick.
Pesawat berkenaan dilaporkan telah terhempas ke atas kompleks asrama kolej perubatan, mengakibatkan kemalangan jiwa yang besar.
Kementerian turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, mereka yang terselamat, serta seluruh rakyat India, United Kingdom, Portugal dan Kanada di atas tragedi ini.
“Doa kami mengiringi mangsa, keluarga mereka, serta semua yang terkesan dalam kejadian ini,” kata kementerian itu.
Warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi:
Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai
Unit 12A1, Unit 12A2 & Unit 12A3, Tingkat 13, Supreme Headquarters
Building, Jalan 14 & 33, berdekatan Link Square Mall, Bandra West,
400 050 Maharashtra, India
Telefon: +91 22 6996 5757 (Pertanyaan Am)
Emel: [email protected]
– MalaysiaGazette
















