WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengesahkan negara itu terlibat secara langsung membantu memintas peluru berpandu yang dilancarkan Iran ke arah Israel.
Agensi berita melaporkan, seorang pegawai pertahanan AS yang enggan dikenali mendakwa pemintasan itu dilakukan menggunakan sistem pertahanan darat milik AS tanpa melibatkan jet pejuang atau kapal perang setakat ini.
Bagaimanapun, lokasi pemintasan tidak didedahkan atas faktor keselamatan.
AS yang memiliki hampir 40,000 anggota tentera di Asia Barat turut menempatkan pelbagai aset ketenteraan seperti sistem peluru berpandu, pesawat pejuang dan kapal perang yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa.
Dalam insiden sebelum ini, AS menggunakan kekuatan penuh termasuk kapal perang dan jet tempur bagi menembak jatuh peluru berpandu Iran yang disasarkan ke Israel. -MalaysiaGazette
















