Dari kiri: Musaad Mohammed Al Aiban, Menteri Negara dan Penasihat Keselamatan Negara Arab Saudi; Wang Yi, Menteri Luar China; dan Ali Shamkhani, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, bergambar semasa pertemuan di Beijing, China, pada Mac 2023. Gambar Fail: China Daily

BEIJING – China menyatakan kebimbangan terhadap situasi tegang antara Iran dan Israel, dan secara tidak langsung mengkritik tindakan Israel menyerang Iran.

Wartawan Al Jazeera dari Beijing melaporkan Kementerian Luar China dalam kenyataannya menegaskan, serangan Israel ke atas Iran berisiko mencetuskan kesan buruk kepada semua pihak yang terlibat.

China turut menyeru agar konflik tersebut segera diredakan.

“China menyatakan penolakan terhadap sebarang pelanggaran terhadap kedaulatan dan wilayah Iran.

“Malah China juga menawarkan diri untuk memainkan peranan sebagai orang tengah yang konstruktif bagi meredakan ketegangan,” lapor media itu.

Pada 2023, China menjadi perantara dalam memulihkan hubungan diplomatik antara Iran dan Arab Saudi.

Meskipun menjalin hubungan diplomatik dengan kedua-dua Israel dan Iran, China dilihat lebih rapat dengan Tehran, hubungan itu dimeterai melalui Perkongsian Strategik Komprehensif yang ditandatangani pada 2016.

China juga merupakan rakan dagang terbesar Iran serta pembeli utama minyak dari negara tersebut.

Bagaimanapun, hubungan Beijing dengan Israel semakin renggang kebelakangan ini, terutamanya susulan kecaman keras China terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza dan pendirian tegasnya menyokong penyelesaian dua negara bagi Palestin. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast