KUALA LUMPUR – Institut Waqf Nasional (iWAQF) menggesa penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh dakwaan penyelewengan harta wakaf Kolej Islam Malaya (KIM) yang dianggarkan bernilai hampir RM10 bilion.
Gesaan itu dibuat susulan pendedahan mengejutkan yang dilaporkan media pada 13 Jun 2025 berhubung dakwaan salah guna aset wakaf KIM, termasuk pelaburan dalam syarikat perjudian serta pemindahan hak milik secara tidak telus kepada pihak tertentu.
Menurut iWAQF, pendedahan tersebut menggambarkan satu pengkhianatan besar terhadap amanah wakaf yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan pendidikan dan Islam di negara ini.
“Isu ini bukan sahaja mencemarkan imej pengurusan wakaf di Malaysia, malah turut mencalar maruah institusi-institusi Islam yang bertanggungjawab memelihara integriti, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai badan yang memperjuangkan tadbir urus wakaf, iWAQF menegaskan satu siasatan terperinci perlu dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja Melayu serta agensi berkaitan.
Kenyataan itu turut menyeru masyarakat sivil, institusi agama, ahli akademik dan bekas pelajar KIM agar bersatu menyokong usaha menyelamatkan aset wakaf terbabit demi masa depan ummah.
“Wakaf adalah amanah suci yang tidak boleh digadai demi kepentingan individu atau kelompok tertentu,” tegas iWAQF.
iWAQF turut menyatakan komitmen untuk terus memantau perkembangan isu ini serta bersedia menawarkan kepakaran teknikal dan perundangan dalam memulihkan semula aset wakaf KIM selaras dengan maqasid syariah dan tujuan asal pewakaf. – MalaysiaGazette
















