Dzulkefly Ahmad tiba di Majlis Apresiasi Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 dan Sambutan Jubli Perak Pusat Darah Negara di Kuala Lumpur. GAMBAR 14 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menganggarkan Malaysia berdepan realiti negara menua menjelang 2040 melibatkan 15 peratus populasi berusia melebihi 65 tahun serta peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkembangan itu menyebabkan ramai penderma darah berulang kini tidak lagi layak menderma atas faktor umur atau kekangan kesihatan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian berusaha menarik lebih ramai penderma muda dengan mempergiat program kesihatan dan kesedaran.

“Kementerian akan memanfaatkan dapatan sains tingkah laku hasil kerjasama antara Pusat Darah Negara (PDN) dan Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan (IPTK).

“Kajian ini membantu kita memahami dengan lebih baik faktor-faktor yang mendorong pendermaan berulang dalam kalangan rakyat.

“Hasilnya diterjemah kepada kempen yang lebih berkesan dan bakal menjadi asas kepada pembangunan Pelan Strategik Derma Darah Kebangsaan 2026–2030 yang akan dilancarkan tahun depan,” ujar beliau.

Dzulkefly berucap pada Majlis Apresiasi Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 dan Sambutan Jubli Perak Pusat Darah Negara (PDN), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sejumlah 301 penderma dan penganjur kempen menerima pelbagai anugerah termasuk empat individu menerima `Medal for Life’ kerana menderma lebih daripada 500 kali sepanjang hayat mereka.

Mereka ialah Liew Chin Yap, Liew Ship Boo, Ong See Kim dan Chin Jeck Leng.

Dalam ucapannya, beliau berkata, PDN berjaya mengumpul hampir 800,000 beg darah tahun lalu iaitu peningkatan empat peratus, berbanding tahun sebelumnya.

Ujar Dzulkefly, pencapaian itu sangat membanggakan kerana setiap beg darah yang didermakan boleh menyelamatkan tiga nyawa.

“Setiap hari, sebanyak 2,000 beg darah diperlukan untuk merawat 1,000 pesakit,” ujarnya.

Menurut menteri berkenaan, Pelan Strategik Thalassemia 2024–2030 yang dilancarkan Mei lalu mensasarkan kadar pendermaan 3.5 peratus daripada populasi, dengan 65 peratus daripadanya adalah penderma berulang yang sihat.

“Ini mustahak khususnya bagi pesakit thalassemia dan penyakit kronik lain yang memerlukan transfusi darah secara berkala setiap bulan,” ujarnya.

Dalam ucapannya, beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada sukarelawan yang tampil menderma darah bagi membantu mangsa yang cedera dalam nahas melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idri (UPSI), awal minggu ini.

Beliau turut berkata, Blood Bank Information System Version 2 (BBISV2) kini diperluaskan ke 93 tabung darah hospital untuk pengurusan stok darah secara masa nyata (atau real-time) yang lebih cekap dan bersepadu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast