KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa siasatan menyeluruh merentasi pelbagai agensi dilaksanakan terhadap sindiket pelaburan kewangan yang memperdaya puluhan penjawat awam melalui skim dikenali Refresh and Reload.
Sindiket itu juga didakwa dikaitkan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Operasi Sky (Op Sky).
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, seramai 24 mangsa terdiri daripada doktor, guru dan pentadbir tampil membuat aduan kepada MHO dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM8.47 juta.
“Skim ini menjanjikan penyelesaian hutang dengan jaminan rekod CCRIS dibersihkan, serta peluang untuk membuat pinjaman serentak daripada empat institusi kewangan.
“Ia dikendalikan dua syarikat swasta bersama sebuah pertubuhan berdaftar yang memperkenalkan diri sebagai perunding kewangan dan bekas pegawai bank dalam sesi taklimat tertutup kepada penjawat awam terpilih,” katanya kepada media, hari ini.
Menurutnya, mangsa diberikan skrip dan latihan dalam kumpulan WhatsApp untuk berkomunikasi dengan pihak bank seolah-olah mereka benar-benar memahami proses permohonan pinjaman.
Namun selepas pinjaman diluluskan, wang yang diperoleh diarahkan dipindahkan ke akaun entiti tertentu bagi melunaskan hutang sedia ada dan dijadikan ‘pelaburan semula’ untuk membayar semula ansuran bulanan.
“Malangnya, selepas pembayaran dibuat, syarikat terbabit gagal menunaikan janji. Akibatnya, mangsa kini menanggung beban hutang yang lebih besar, malah berdepan tindakan undang-undang bank,” jelas Hishamuddin.
Beliau berkata, ada mangsa yang perlu membayar ansuran sehingga RM12,000 sebulan walaupun hanya berpendapatan sekitar RM6,000, ada juga antaranya sudah menerima notis kebankrapan.
“Mereka diperdaya secara sistematik dengan potongan tersembunyi hingga 40 peratus tanpa diberitahu awal. Ada juga dikenakan caj tambahan kononnya untuk skim pemilikan kereta bernilai RM10,000,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hishamuddin mempersoalkan skop siasatan SPRM yang menurutnya masih terhad di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.
“Banyak lagi elemen jenayah yang wujud. Kami gesa siasatan diperluaskan di bawah Seksyen 420 (tipu), 403 (menyeleweng), dan 405 (pecah amanah) Kanun Keseksaan.
“Tindakan mengumpul pelaburan tanpa prospektus yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti (SC) jelas melanggar Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan, manakala kutipan deposit tanpa lesen juga melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan.
“Skim pemilikan kereta yang mengenakan bayaran tetap kepada peserta juga tidak berdaftar di bawah Pendaftar Skim Kepentingan seperti termaktub dalam Seksyen 3(2) akta berkaitan,” katanya.
MalaysiaGazette difahamkan MHO akan menghantar surat rasmi kepada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia agar siasatan baharu dibuka memandangkan undang-undang berkait perlu diteliti oleh agensi pemantau masing-masing.
“Serahkan semua kepada SPRM sahaja tanpa libatkan agensi lain adalah tidak wajar. Bidang kuasa undang-undang berbeza-beza dan perlu diteliti oleh agensi masing-masing sebelum Jabatan Peguam Negara menilai bentuk pendakwaan,” ujarnya. -MalaysiaGazette















