KUALA LUMPUR – Seorang pejalan kaki dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai akibat dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Jalan Ipoh menghala ke Bulatan Kepong, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu sekitar jam 11.45 pagi melibatkan dua buah kereta dan seorang pejalan kaki.
“Siasatan awal mendapati, sebuah kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun dari arah Program Perumahan Rakyat Batu Muda.
“Kereta terbabit dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar bahagian hadapan kanan sebuah Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam berusia 43 tahun yang datang dari arah Batu Kentomen.
“Kereta Nissan Sylphy itu kemudian merempuh seorang pejalan kaki sebelum terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut di celahan konkrit serta saluran paip besi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Zamzuri, pemandu Nissan Sylphy itu mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
“Manakala mangsa pejalan kaki yang identitinya masih belum dikenal pasti disyaki terjatuh ke dalam sungai serta masih belum ditemukan.
“Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Sentul, Jinjang dan Hang Tuah.
“Turut dibantu bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan JSPT Kuala Lumpur,” jelasnya.
Ujarnya, semakan lanjut mendapati kereta yang dipandu lelaki warga asing terbabit bukan miliknya dan polis sedang mengesan pemilik sebenar kenderaan terbabit untuk tindakan selanjutnya.
Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan lelaki warga Bangladesh akan ditahan untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette















