Penerima Anugerah `Medal For Life', Chin Jeck Leng menderma darah melebihi 500 kali sejak berusia 18 tahun. 14 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai bank menceritakan pengalaman ibunya yang sukar mendapatkan bekalan darah selepas menjalani pembedahan, menguatkan azamnya untuk menderma darah secara rutin bagi membantu pesakit yang memerlukan.

Chin Jeck Leng, 65, berkata, ibunya yang ketika itu menjalani pembedahan di bahagian perut memerlukan bekalan darah jenis O+ yang banyak namun ahli keluarga tidak dapat menyediakannya.

“Saya berusia 17 tahun ketika itu, kami terpaksa meminta bantuan jiran namun mereka meminta bayaran dalam bentuk ‘angpow’.

“Ketika itu, saya menyedari betapa sukarnya untuk mendapatkan bekalan darah dan berazam untuk menderma darah apabila berusia melebihi 18 tahun,” ujarnya ketika ditemui pihak media hari ini.

Jeck Leng merupakan salah seorang daripada empat penerima anugerah ‘Medal For Life’ sempena Majlis Apresiasi Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 dan Sambutan Jubli Perak Pusat Darah Negara (PDN), di sini. hari ini.

Bekas ketua jabatan sumber manusia sebuah bank itu sudah menderma darah secara konsisten selama 47 tahun dan tahap kesihatannya sangat baik dan mempunyai darah yang berkualiti.

Tiga yang lain ialah Liew Chin Yap, Liew Ship Boo dan Ong See Kim dan mereka menerima anugerah itu kerana menderma lebih daripada 500 kali seumur hidup.

Pada majlis itu, hampir 300 penderma dan penganjur kempen turut menerima pelbagai anugerah daripada Pusat Darah Negara (PDN) yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Pemandu Grab OKU, Norhasri Mohd. Jadi menerima Anugerah Delima kerana menderma darah di antara 76 hingga 100 kali. 14 JUN 2025

Sementara itu, seorang pemandu Grab, Norhasri Mohd. Jadi, 44, menerima Anugerah Delima kerana menderma darah di antara 76 hingga 100 kali seumur hidup.

Dia yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang dan menderma darah setiap tiga minggu sebagai sumbangan kepada masyarakat.

“Saya ditimpa kemalangan jalan raya ketika berusia tiga tahun setengah sewaktu bersama keluarga dalam perjalanan pulang dari kampung ke sini.

“Saya sudah menderma darah sebanyak 99 kali sejak berumur 28 tahun dan kali terakhir dua minggu lalu,” ujarnya.

Pengasas Persatuan Amal Setia Gong Xian Zhe KL dan Selangor, Stanley Chin Ping menerima Anugerah Khas Penganjur Kempen Derma Darah. 14 JUN 2025

Pada majlis itu juga, Persatuan Amal Setia Gong Xian Zhe KL dan Selangor menerima Anugerah Khas Penganjur Kempen Derma Darah yang diwakili pengasasnya, Stanley Chin Ping.

Beliau berkongsi pengalaman menganjurkan kempen derma darah ketika musim pandemik Covid-19 pada 2020.

“Ketika pandemik, semua orang takut kerana melibatkan darah, namun saya tetap teruskan demi membantu orang ramai,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast