Iran telah mengibarkan bendera merah simbolik sebagai tanda balas dendam di atas Masjid Jamkaran di Qom selepas serangan udara maut oleh Israel.

KAHERAH – Iran berkata, dialog dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung program nuklear Tehran sudah “tidak bermakna” selepas serangan ketenteraan terbesar Israel terhadapnya, sambil menuduh Washington menyokong serangan itu.

“Sebelah pihak lagi (Amerika Syarikat) bertindak dengan cara yang menjadikan dialog tidak bermakna.

“Anda tidak boleh mendakwa sedang berunding tetapi pada masa yang sama membahagikan tugas dengan membenarkan rejim zionis (Israel) menyasarkan wilayah Iran,” kata jurucakap Kementerian Luar, Esmaeil Baghaei, yang dipetik oleh agensi berita Tasnim.

Beliau berkata, Israel “berjaya mempengaruhi” proses diplomatik dan serangan Israel itu tidak akan berlaku tanpa kebenaran Washington.

Sebelum ini, Iran menuduh AS bersekongkol dalam serangan Israel, tetapi Washington menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu Tehran di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa adalah “bijak” untuk berunding mengenai program nuklearnya.

Pusingan keenam rundingan nuklear antara AS-Iran dijadualkan berlangsung pada hari Ahad di Muscat, namun tidak jelas sama ada ia akan diteruskan selepas serangan Israel itu.

Iran menafikan program pengayaan uraniumnya adalah untuk tujuan selain daripada kegunaan awam, sambil menolak dakwaan Israel bahawa negara itu secara rahsia sedang membangunkan senjata nuklear. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast