TEL AVIV – Seramai 499 penduduk Israel dimasukkan ke hospital akibat serangan balas yang dilakukan Iran ke atas negara sejak Jumaat lalu
Menurut Kementerian Kesihatan Israel, unit kecemasan masih lagi menyediakan perkhidmatan ‘semi kecemasan’ untuk pesakit luar dan pihaknya telah mengaktifkan bilik operasi bawah tanah yang diselaraskan oleh tentera, Magen David Adom (perkhidmatan perubatan kecemasan, bencana, ambulan dan bank darah nasional).
Katanya, unit tersebut mengawasi sistem kesihatan kecemasan semasa serangan balas peluru berpandu dan krisis nasional.
Sebagai sebahagian daripada respon kepada serangan balas itu, pihak berkuasa turut menilai semula kemungkinan memanggil pulang doktor yang berada di luar negara yang terkandas akibat penutupan ruang udara.
Seorang pegawai kanan kementerian tersebut menyatakan bahawa sektor kesihatan telah bersedia menghadapi senario membabitkan kecederaan dalam jumlah besar walaupun perinciannya dirahsiakan atas alasan keselamatan.
Sebagai tindakan balas kepada Israel yang menyerang Iran pada Jumaat, negara itu melancarkan ‘Operation True Promise 3‘ yang menyaksikan serangan peluru berpandu secara besar-besaran yang menyasarkan Tel Aviv dan utara Palestin yang dicerobohi rejim Zionmis.
Menurut media Israel, serangan balas itu menyebabkan empat penceroboh haram maut dan lebih 200 orang cedera.
Iran kemudian melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Tel Aviv dan utara Palestin yang dicerobohi Israel pada awal pagi Sabtu menyebabkan negara itu berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Sementara itu, Israel mengakui dua penduduknya terbunuh dan 40 lagi cedera akibat pengeboman di Rishon LeZion, tengah Palestin.
Ketua Perbandaran Rishon LeZion yang terletak dekat Tel Aviv, Raz Kinstlich berkata, kemusnahan daripada serangan peluru berpandu Iran lebih teruk daripada apa yang dilaporkan media dan menyifatkannya sebagai ‘kemusnahan penuh’.
Menerusi temu bual dengan rangkaian televisyen, Channel 13, beliau menyatakan kemusnahann yang dilihat di skrin tidak seberapa berbanding realiti.
Katanya, skala kemusnahan tidak dijangka dan menambah: ” Kami tidak pernah menghadapi kemusnahan seperti ini, ia seperti kemusnahan sepenuhnya, hampir mustahil untuk diungkapkan dan sejujurnya pemandangannya aman menakutkan,”.
Jelasnya, Rishon LeZion pernah dibom dalam operasi ketenteraan sebelum ini, namun skala kemusnahan pada kali ini tidak dapat dibandingkan sambil berkata: “Malah pada 7 Oktober, kami tidak menyaksikan seperti ini,”. – Agensi
















