Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas dipercayai terjatuh semasa berada di bawah jagaan pengasuh di Puncak Alam, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan daripada pegawai perubatan wanita di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam pada pukul 10.42 malam.

Katanya, bayi itu dihantar ke hospital tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan ambulans.

Sebelum itu jelasnya, bayi berkenaan menerima rawatan awal di sebuah klinik berhampiran.

“Pengadu dan doktor pakar kecemasan memberikan rawatan pernafasan dan ubat-ubatan ke atas bayi itu kira-kira 22 minit, namun mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda pernafasan,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz berkata, ibu bayi ketika membuat laporan polis berkata, beliau menerima panggilan daripada pengasuh kira-kira pukul 5.40 petang memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pengasuh mahu memandikan mangsa. Bayi itu dikatakan tergelincir lalu jatuh mengiring ke kanan dan sesak nafas.

“Pengasuh kemudian membawa bayi itu ke sebuah klinik di Puncak Alam,” katanya lagi.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

Ujar beliau, pihaknya telah merakam percakapan pengasuh itu bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Mohd. Hafiz meminta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik menerusi 013-4861194.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast