BENTONG – Seorang pengurus kedai perabot didakwa menggelapkan wang syarikat berjumlah RM60,000 dalam masa enam bulan sebelum menghilangkan diri bulan lepas.
Menurut pemilik Facebook Man Chong (SOFAMANN), perbuatan lelaki berusia 38 tahun itu terbongkar selepas dia dikatakan tiba-tiba menghilangkan diri dan hanya meninggalkan elefon bitmbit milik syarikat sahaja pada 9 Mei lalu..
”Lepas kami ambil alih kerja dia semua,baru perasan, dalam tempoh enam bulan dia dah makan duit company jumlah total lebih Rm60,000!
“Cheong Wai Joon BUKAN staff Sofamann lagi. Kami pun nak pesan dekat semua peniaga kat luar sana kalau jumpa orang ni, hati-hati! Jangan sampai kena game!
”Yang last tu saya nak cakap kalau nak runding boleh!Runding mulut tak nak, runding duit sahaja saya terima. Kalau tak ada duit nak bayar maka jawapannya ke penjara sahaja,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Tambahnya, suspek ditugaskan menguruskan penghantaran dan perkhidmatan jualan syarikat sofa tersebut.
Sehubungan itu menurut Man Chong, satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata polis mengesahkan telah menerima satu laporan pada 13 Jun lalu lebih kurang jam 9.37 malam berhubung insiden berkenaan.
”Pengadu merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 27 tahun, seorang ahli perniagaan telah hadir ke Balai Polis Bentong untuk membuat laporan ke atas seorang pekerjanya.
”Suspek merupakan lelaki warganaegara tempatan berusia 38 tahun yang juga merupakan seorang pengurus kerana dipercayai melakukan pecah amanah terhadap wang syarikat,” katanya.
Menurutnya siasatan awal pihak polis mendapati jumlah kerugian lebih kurang RM12,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Zaiham turut memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan polis. – MalaysiaGazette
















